Siapa paling berkuasa di Switzerland?



Dalam perjalanan mengayuh basikal ke pejabat hari ini saya terpaksa membrek untuk memberi laluan kepada pejalan kaki. Dua orang melintasi saya sambil berbual. Rupa-rupanya salah seorang ialah Presiden Switzerland! Tiada pengiring dan tiada pengawal peribadi. Mungkin beliau baru keluar daripada bangunan parlimen yang tidak berpagar itu untuk minum kopi agaknya. Ini bukan kali pertama saya bertembung dengan presiden Switzerland yang bertukar setiap tahun. Mereka selalu berjalan kaki di bandar Bern seperti orang biasa yang lain. Ada kalanya beliau berjalan kaki berseorangan. Saya pernah memaparkan gambar seorang daripadanya menunggu keretapi untuk ke parlimen.http://kdsvizra.ch/gambar-president-switzerland-menunggu-keretapi-untuk-ke-bern-menjadi-tumpuan-dunia/

Jika di Malaysia kita mempunyai Perdana Menteri yang semakin hari semakin besar kuasanya, Brunei mempunyai Sultan yang berkuasa mutlak, Singapura dengan Perdana Menterinya dan Indonesia dengan Presidennya. Bagaimana pula dengan negara maju dan kaya Switzerland?

Jawapannya, tiada seorang pun yang paling berkuasa di sini. Mengikut system demokrasi langsung (direct democracy), kuasa paling tinggi terletak di bahu rakyat Switzerland. Rakyat di sini sangat berkuasa dan bertanggungjawab menentukan hala tuju negara Switzerland. Sejumlah 5.2 juta rakyat Swiss yang layak mengundi membuat keputusan untuk  kampung, negeri dan negara melalui undi empat kali setahun.

Berjalan bersama rakyat, semua menteri terpaksa menggalas beg bekalan masing-masing
Berjalan bersama rakyat pada tahun lepas, semua menteri terpaksa menggalas beg bekalan masing-masing. Tiada pengawal peribadi atau polis.

Sebagai contoh besar, ialah pada tahun 2002, rakyat Switzerland memberi kebenaran melalui undi agar negara Switzerland menyertai pertubuhan bangsa-bangsa bersatu. Ataupun pada tahun 2014 di mana rakyatnya menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk membeli pesawat perang baru.

Isu kecil seperti membina sekolah baru di kampung, laluan bas baru ataupun membesarkan hospital bandar,  kesemuanya perlu mendapatkan keputusan rakyat melalui undi. Kerajaan dan rakyat mempunyai hak yang sama untuk memberi cadangan, namun keputusan sebenar terletak di tangan rakyat.

Namun siapakah ketua negara ini? Jawapannya mereka yang paling tinggi pengaruh dan kuasa (yang di amanahkan oleh rakyat) adalah seramai 7 orang. Ketujuh-tujuh orang ini mempunyai status, tanggungjawab dan hak yang sama. Mereka dipilih oleh parliment setiap 4 tahun. Meskipun mereka datang daripada pelbagai parti yang bertentangan, apabila mereka menjadi ahli Majlis Eksekutif ini, keutamaan mereka adalah berkerjasama sesama ahli bertujuh, mengatasi parti mereka. Setiap tahun digilir mereka bertujuh ini menjadi Presiden Switzerland, kuasanya tidak lebih daripada yang lain. Kecuali tugasannya ditambah kerana setiap daripada mereka adalah  juga  menteri kepada tujuh kementerian di mana timbalan menterinya tidak wujud. Ya, hanya tujuh menteri sahaja, bebanding di Malaysia yang mempunyai puluhan menteri, 11 daripadanya menteri di pejabat perdana menteri!

bundesrat fabrik
Gambar rasmi semua menteri bersama Ketua Setiausaha Negara. Latar belakang kilang bersama pekerjanya.

Tugas mereka berat, namun prestasi mereka diawasi oleh rakyat. Setiap sen perbelanjaan mereka didedahkan kepada umum. Bukan itu sahaja, mereka sering ‘dibelasah’ di medan perbahasan di kaca tv. Tiada konsep derhaka, plot untuk menjatuhkan mereka dengan hanya melukis kartun, suratkhabar diharamkan kerana melaporkan sesuatu dan rakyat dipenjara kerana berdemo  dan sebagainya. Kerana mereka sebenarnya adalah orang suruhan rakyat. Jauh sekali untuk rakyat di sini mendewa-dewakan pemimpin mereka. Konsep bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan tidak wujud sama sekali kerana mereka (kerajaan) adalah orang suruhan dan rakyat adalah majikannya.

Untuk ke sana kemari mereka sering menggunakan pengangkutan awam terutamanya keretapi. Mereka diberi kereta pinjaman bersama pemandu untuk tugasan rasmi, bukan peribadi. Menteri kewangan sekarang hanya berbasikal untuk ke tempat kerja. Saya pernah melihat salah seorang menteri wanita berlari mengejar keretapi di stesen keretapi Bern ini.

Untuk keluar negara menteri bertujuh ini terpaksa berkongsi sebuah jet kerajaan. Hanya sebuah jet dan sebuah helikopter untuk menteri bertujuh. Saya difahamkan bahawa jet terpakai ini akhirnya akan ditukar kepada jet baru beberapa tahun lagi. Tahukah anda berapa buah jet kerajaan Malaysia? Jika tidak salah saya lima buah! Negara yang pendapatannya jauh lebih kaya ini ternyata tidak memewahkan pemimpinnya seperti di Malaysia.

Jet terpakai dibeli daripada kerajaan Monaco. Sebuah dikongsi tujuh.
Jet terpakai dibeli daripada kerajaan Monaco. Sebuah dikongsi tujuh.

Oleh kerana negara tidak mendewakan pemimpin, maka gelaran, darjah kebesaran dan pingat juga tidak wujud. Jika rakyat Malaysia merasa hebat dan bangga serta segan dengan gelaran Datuk, Datuk Seri, Tun dan sebagainya, di sini tiada siapapun yang kisah. Pangkat darjat  dan kekayaan tidak dipandang tinggi di sini. Sebab itulah rakyatnya merasakan mereka berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tidak kira sama ada mereka ahli perniagaan yang jutawan ataupun tukang sapu sampah yang bergaji minima, mereka semua mempunyai sama kuasa dan pengaruh untuk menentukan hala tuju negara mereka. Merekalah yang paling berkuasa di sini.

Sekian sahaja ngomelan saya pada hari ini.

Catatan: Penulis merupakan rakyat Malaysia yang menetap dan berkerja di ibu negara Switzerland di mana beliau mengayuh basikal elektriknya dengan laju melintasi Parlimen Switzerland hampir setiap hari. Beberapa kali penulis nyaris terlanggar mereka yang penting dan berpengaruh di Switzerland ini yang sering berkeliaran di bandar Bern ini tanpa pengiring ataupun  pengawal keselamatan.

 

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.