Kereta mewah, antara si kaya dan yang berlagak kaya



Saya sekali lagi berkesempatan berbual dengan kenalan yang berkerja di Pusat Jualan Kereta Porsche. Beliaulah yang meminjamkan kereta Porche Macan yang saya pandu cuba sebelum ini. Sila lihat bagaimana saya memandu uji kereta idaman ini.

Satu fakta yang menarik saya perolehi daripada beliau ialah mengenai cara pembelian kereta mewah di Switzerland.

  •  Bern: Sebanyak 60 % pembeli kereta mewah berjenama Porsche membayar secara tunai manakala selebihnya adalah pinjam beli maksimum selama 5 tahun. Hampir sama dengan cara pembeli kereta secara umum di Switzerland.
  • Zurich:70% pinjam beli dan hanya 30% membayar secara tunai
  • Geneva: 90% pinjam beli dan 10% tunai

Apa yang menarik di sini adalah ketiga-tiga bandar ini sangat berbeza dari segi keterampilan dan gaya hidup.

Bandar Bern merupakan ibukota Switzerland namun suasananya seperti pekan kecil. Di sini mereka yang kaya merupakan usahawan ataupun daripada keluarga bangsawan ataupun petani moden. Dari segi keterampilan, penduduk Bern dikira paling selekeh jika dibandingkan dengan penduduk Zurich dan Geneva. Sikap merendah diri di sini sangat ketara di antara hartawan di sini. Budaya politik yang jauh daripada sikap mewah dan menunjuk-nunjuk juga dibuktikan dengan presiden dan menteri-menteri Switzerland berjalan kaki ke sana kemari tanpa kenderaan mewah dan juga pengawal peribadi di bandar ini. Jika anda tidak percaya sila ke stesen keretapi Bern pagi hari di musim perbentangan parlimen. Berduyun-duyun mereka berlari anak-anak menuju ke Parlimen. Silat lihat gambar presiden Switzerland menunggu keretapi di sini

Bandar Zurich, pusat kewangan dunia dan komersil Switzerland. Selain menarik ramai hartawan dari serata dunia untuk tinggal di sana, ramai juga pekerja mahir yang bergaji besar di sektor kewangan dan perbankan. Zurich merupakan antara 10 pusat kewangan yang paling berdaya saing di dunia. Setiap kali saya ke Zurich terasa seperti rusa masuk kampung. Segalanya cepat, dan orang Zurich suka bergaya dengan pakaian yang mahal. Tidak hairanlah kadar sewa kedai di Bahnhofstrasse merupakan kadar sewa kedai termahal di dunia. Di mana-mana saja kelihatan kereta mewah lalu lalang ke sana ke mari.

Bandar Geneva, juga sangat metropolitan dan bergaya. Selain diplomat dan pekerja antarabangsa di pelbagai organisasi antrabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa  Bersatu. Tiada bandar lain yang menjadi ibupejabat organisasi antarabangsa sebanyak di sini. Geneva juga merupakan  antara 20 pusat kewangan yang paling berdaya saing di dunia. Seperti Zurich, segala-galanya di sini mahal dan penuh gaya dan glamour.

Berbalik kepada pembeli Porshe, mungkinkah tekanan gaya hidup di Bern tidak sehebat di Zurich dan Geneva? Seperti yang kita tahu, keterampilan lahiriah adalah sangat penting untuk hidup di bandar. Seperti di Kuala Lumpur ramai yang sanggup berikat perut makan mi segera demi sebuah beg tangan berjenama, begitu juga dengan pendududuk Zurich dan Geneva yang sanggup berhutang demi untuk memandu kereta mewah. Dengan adanya kereta Porsche mereka merasakan yang diri sama taraf dengan hartawan asli yang membeli kereta Porsche secara tunai!

Ini membuatkan saya berfikir, sejauh manakah kehidupan kita dipengaruhi oleh tekanan sekeliling? Mungkinkah jika hidup di desa, tekanan ini berkurangan? Budaya menunjuk dan bergaya wujud sejak wujudnya tamadun terawal manusia,  bergaya di luar kemampuan adalah cara terbaik untuk membuka pekung di dada kepada dunia bertapa ‘bijak’nya kita dengan pengurusan kewangan.

H01B6268
Bandar Bern daripada bukit Gurten

 

Apa komen anda?