Tiada masa untuk melepak, remaja Swiss diajar berkerja dari awal.



Switzerland dikategorikan sebagai negara kaya. Namun kekayaan dan kesejahteraan negara yang tiada sumber asli ini tidak memanjakan generasi mudanya.

Remaja di sini diajar untuk menghargai duit sejak dari awal lagi. Lebih daripada separuh remaja yang berumur 13 tahun ke atas pernah berkerja separuh masa!  Kebanyakannya berkerja di waktu cuti sekolah seperti pada musim cuti panas ini.

Mengikut undang-undang di sini remaja berumur 13 tahun dibenarkan bekerja maxima 15 jam seminggu pada musim cuti sekolah. Remaja berumur 15 tahun boleh berkerja sebanyak 45 jam pada musim cuti sekolah.

Kerja yang dilakukan oleh mereka adalah pelbagai daripada mengedar suratkhabar, membersihkan bangunan, ataupun menolong kerja ringan di pejabat. Hanya remaja berumur 16 tahun ke atas dibenarkan bekerja sebagai pelayan restoran.

Kebiasaanya remaja ini meneruskan tabiat berkerja separuh masa sehinggalah mereka tamat Universiti.

Pengalaman penulis;

Setiap kali saya ke pejabat penghulu pada musim panas untuk mengambil permit penginapan, saya sentiasa disambut oleh remaja yang berkerja di sana. Mereka diajar untuk melayan tetamu dengan baik dan mesra.

Saya mula melibatkan diri secara langsung dengan remaja yang berkerja sebegini semasa berkerja di syarikat bioteknologi dahulu. Saya bertanggungjawab menyelia dan memberi mereka tugas seperti menyusun fail, membuat salinan dokument dan lain-lain lagi. Ada di kalangan mereka yang muncul setiap tahun sehinggalah mereka mendapat tawaran belajar ke universiti.

Ketika berkerja di  universiti pula kumpulan saya terdiri daripada mereka yang berkelulusan sarjana kedoktoran sehinggalah ke pelajar universiti. Kebanyakan pelajar universiti di sini menanggung pembelajaran mereka dengan berkerja separuh masa, termasuklah pelajar perubatan! Mereka bukannya dari keluarga miskin. Mereka terdiri daripada anak-anak pensyarah, doktor pakar mahupun kakitangan biasa. Ibu bapa mereka jauh sekali memanjakan anak-anak mereka.

Tidak hairanlah remaja di sini matang awal dan kurang terjebak di dalam aktiviti yang tidak berfaedah.  Masyarakat Switzerland rata-ratanya tahu mengurus kewangan mereka dan tidak dibelenggu oleh hutang keliling pinggang. Mereka tahu nilai duit dan tahu membezakan antara kehendak, keperluan dan kemampuan.

image1
Artikel mengenai remaja berkerja.

Apa komen anda?