Sepetang di taman hospital.


Pada hujung minggu lepas penulis menziarahi mak angkat yang baru sudah tiga hari bertukar kepala lutut baru. Beliau yang berumur 88 tahun mengambil keputusan untuk  menjalani pembedahan kerana lutunya mengalami kesukaran untuk memandu. Amat kagum, setelah 3 hari beliau telah boleh berdiri dan bergerak selangkah dua.

Kami membawa beliau menggunakan kerusi roda ke taman hospital. Tidak lama kemudian datang dua orang sahabat beliau yang penulis berjumpa sebelum ini di majlis pengkebuminan bapa angkat pada musim panas yang lepas.

Penulis bersalam dengan Hans dan Sonya. Pasangan suami isteri ini berumur 95 tahun. Ditanya bagaimana mereka berdua datang ke hospital, amat terkejut bila mereka berdua menjawab dengan menaiki bas!

Hans masih ingat nama penulis, dan setiap kali bercakap terus dengan penulis dia menggunakan bahasa  standard German. Kata-katanya jelas dan suaranya masih kuat.

Perbualan di atas meja pada petang itu berkisar mengenai kehidupan mereka di rumah orang tua, masalah harian generasi tua seperti kesusahan membuka pembungkus makanan, kesukaran membaca label ketika membeli belah dan lain-lain perkara yang penulis tidak pernah terfikir sebelum ini.

Sekali sekala perbualan disusuli dengan jenaka dan gelak ketawa. Jelas kelihatan ikatan persahabatan antara mereka bertiga. Kemudian Sonya mengeluarkan satu buku untuk bahan bacaan mak angkat. Mereka bertiga sentiasa mengasah minda dengan membaca.

Sebelum mereka pulang sempat penulis mengambil gambar bertiga untuk kenangan.

Kita mungkin akan tua atau munkin mati muda, tetapi jagalah tubuh dan minda kita yang diamanahkan oleh Pencipta ini. Tawakal tanpa berusaha adalah sia-sia.  Hans pernah berkata sewaktu berbual,  satu pepatah arab yang mengatakan ikatlah unta sebelum bertawakal kepada Allah.  Terkejut penulis bila Hans sebenarnya  memetik hadith riwayat Tarmizi.

Apa komen anda?