Selamat bersara doktorku .



Hari ini adalah hari terakhir penulis berjumpa dengan doktor peribadi. Seperti yang ditemujanji 2 minggu sebelum ini, penulis ke klinik Dr. G. Cepatnya masa berlalu. Pertama kali penulis menjejaki kaki ke klinik ini adalah 7 tahun yang lepas.

Seperti biasa, jururawat memanggil penulis dengan ramah, process mengambil darah berlaku tanpa sebarang masalah. Kemudian penulis ke bilik air untuk memberi sampel air kencing.

Dr G membuka pintu biliknya dan menyambutku di ruang menunggu. Dengan wajah yang tenang tangannya dihulur untuk bersalam. Penulis menyambut salamanya sambil menuju ke bilik rawatan. Pintu di tutup.

Pemeriksaan fizikal dijalankan seperti biasa. Kehalusan dan rasa hormatnya tetap tertunjul meskipun kami telah lama kenal. Keputusan pemeriksaan lepas ditelaah bersama satu persatu.

Akhirnya, dia berkata “seperti yang dimaklumi sebelum ini, saya akan bersara pada bulan hadapan. Saudara boleh memilih untuk mencari doktor peribadi yang baru atau pun jika tiada, saudara akan didaftarkan secara automatik ke sebuah klinik panel” kata beliau sambil matanya memandang tepat ke mataku.

Penulis berasa sedikit terkilan, kerana setelah sekian lama doktorku yang pakar dalam perubatan dalaman ini akan menamatkan perkhidmatannya. Masih lagi teringat pertama kali penulis ke klinik ini, waktu itu penulis masih tidak bertutur bahaga Jerman. Beberapa kali penulis menghadapi masalah kesihatan, ada yang serius dan ada yang tidak, namun setiap kali bertemu, doktor ini meluangkan masa secukupnya, memberi maklumat dan pendidikan dengan rasa empati.

“Sudah tibanya masa untuk saya bersara. Meskipun lewat 5 tahun daripada mereka yang lain. Rasanya berumur 70 tahun adalah masa yang sesuai untuk bersara. Saya berasa bertuah dan puas merawat pesakit. Menemani pesakit saya di waktu sihat dan sakit adalah tanggungjawab saya. Tiada yang lebih gembira bila melihat pesakit saya sihat dan ceria seperti saudara hari ini.’ Ujarnya lagi sambil mengukir senyuman.

Dr G menemani pesakitnya ada yang sampai ke akhir hayat. Teringat pada hari itu di mana datuk angkat penulis yang berumur 87 tahun menghembuskan nafas terakhir di depan penulis. Dr G datang untuk mengesahkan kematiannya dengan segera. Untuk mengesahkan kematian, disentuh jasad datuk dijalankan penuh hormat dan berhalus. Akhir sekali dipegang tangan datukku sambil manatap wajahnya seolah-olah mengucapkan selamat tinggal. Kemudian ucapan takziah diucapkan kepada kami. Rasa sedihnya turut terpacar dari wajahnya. Manakan tidak, beliau adalah doktor peribadi kepada datuk selama berpuluh tahun.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan doktor. Saya amat menghargai jasa tuan yang selama ini menemani saya di masa sihat dan sakit. Selamat menempuhi alam persaraan” ujarku sambil memandang tepat ke matanya.

Kami bersalaman. Penulis diiringi keluar sehingga ke luar pintu. Masing-masing mengukir senyuman…

______________________________

Nota: Bergantung kepada individu, penduduk di sini boleh memilih untuk mendaftar di klinik panel mahupun doktor peribadi. Di klinik panel, individu akan dilayan oleh sekumpulan doktor yang bertugas. Kebarangkalian untuk berjumpa doktor yang sama adalah kurang. Manakala sistem doktor peribadi, hanya seorang doktor yang merawat anda. Doktor ini akan mencadangkan doktor pakar terbaik untuk anda sekiranya masalah anda memerlukan rawatan pakar.

Adalah kebiasaan untuk individu di sini menjalan pemeriksaan kesihatan berkala meskipun individu tersebut sihat walafiat seperti lawatan penulis pada hari ini.

Switzerland mengalami masalah kekurangan doktor peribadi. Kebanyakan daripada mereka berada di umur mencecah alam persaraan. Generasi doktor yang muda kebanyakannya ghairah untuk melanjutkan kepakaran mereka di bidang selain daripada bidang ‘perubatan keluarga’.

Leave a Reply to arasis Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.