Puasa terlama di Switzerland sejak 3 dekad yang lepas.



Halaman sesawang masjid (www.izb.ch) yang penulis sering kunjungi di Bern ini mengesahkan bahawa 1 Ramadan bermula pada hari Khamis sama dengan umat Islam di Malaysia. Bermula pada tahun 2004 penulis mula menjalani ibadah puasa di luar negara. Ketika berada di Manchester pada tahun berkenaan, waktu berbuka puasa pada pukul 4 petang. Memang seronok berpuasa pada musim luruh ketika itu. Subuh lewat dan maghrib awal.

senja

Namun setiap tahun kalendar hijriah berganjak awal sedikit setiap tahun.  Jika pada  tahun 2004 puasa bermula di dalam bulan Oktober,  pada tahun 2015 ini puasa jatuh pada bulan Jun.Tahukah anda siang hari paling panjang di hemisfera Utara adalah pada  bulan Jun? Ianya jatuh di antara 20-22 Jun setiap tahun.

Ini bermaksud puasa Ramadan paling panjang bagi Muslim di Switzerland sejak 3 dekad yang lalu adalah pada hari Isnin dan Selasa  22 dan 23 Jun 2015!   Pada hari tersebut kami di sini boleh bersahur sebelum Subuh pada pukul 3:27 pagi dan berbuka puasa pada pukul 9:30 malam.

Selepas hari itu puasa di sini semakin pendek sehinggakan pada 30 Ramadan tahun ini, waktu subuh pada pukul 3:55 pagi dan Maghribnya pula 9:21

Tahun depan dan tahun seterusnya puasa semakin pendek dan kemuncak kependekan puasa adalah pada Dezember 2031 di mana Muslim di hemisfera utara ini berpuasa pada musim sejuk. Saya tidak pasti di alam manakah saya berada pada tahun itu.

pokok

Hikmah puasa yang berbeza-beza setiap tahun ini agar semua umat Islam serata dunia khususnya yang berada di negara 4 musim  berpeluang berpuasa di dalam pelbagai musim dan durasi  sepanjang hidupnya meskipun mereka tidak pernah berhijrah ke mana-mana.

Selamat berpuasa di bulan Ramadan daripada saya di bandar Bern, Switzerland.

Apa komen anda?