Menjelajahi Switzerland dalam masa 2 minggu, contoh yang saya lakukan bersama ibubapa saya.



Berikut adalah beberapa soalan yang sering ditanya kepada saya berkenaan melancong ke Switzerland.

  • Di manakah tempat yang menarik untuk dilawati di Switzerland?
  • Berapa hari diperlukan untuk melawat Switzerland?
  • Bilakah masa yang sesuai untuk melawat Switzerland?
  • Berapakah bajet yang diperlukan untuk melawat Swizerland?

Soalan sebegini adalah sangat rumit untuk dijawab. Ianya sama seperti bertanyakan orang lain  apa yang kita hendak makan ataupun pakai. Hanya anda berdasarkan kemampuan, selera, dan kudrat anda sendiri mampu memberikan jawapan yang memuaskan hati anda sendiri. Pengetahuan serba sedikit mengenai pelancongan di Switzerland mampu memaksimumkan kepuasan lawatan anda ke sini.

Saya di sini hanya mampu memberi satu contoh. Ibubapa saya merupakan pesara yang pernah melancong keluar negara tetapi belum pernah ke  Switzerland mahupun benua Eropah. Jadi saya sediakan satu program dan Alhamdulillah mereka berpuas hati dengan pengembaraan yang kami lakukan bersama.

Perancangan yang saya lakukan setahun sebelum itu mengambil kira faktor-faktor di bawah.

Bila? Saya memilih permulaan bulan Jun untuk mereka melawat ke sini. Kebiasaannya suhu di akhir musim bunga ini tidaklah sejuk dan tidak juga panas. Namun kekadang ianya juga bergantung kepada nasib. Amat rugi jika sepanjang lawatan anda hujan turun tidak putus putus dan langit berkelabu tanpa pemandangan. Namun kami bernasib baik di mana 2 minggu tersebut cuaca amatlah baik.

Berapa lama? Mengikut pengalaman saya sendiri, saya mula berasa rimas, rindukan rumah, gelisah untuk berkerja dan menjalani rutin keharian di akhir minggu kedua bercuti. Mengikut ibubapa saya sewaktu mereka ke Australia, rasa rindu pada tanah air mula timbul pada minggu kedua. Jadi saya putuskan 14 belas hari di Switzerland adalah ideal untuk mereka merasa kepelbagaian di sini.

Di mana? Ini yang paling rumit untuk disusun. Terdapat banyak tempat menarik di sini untuk dilawati. Amat mustahil untuk merasa kesemuanya di dalam masa dua minggu. Jadi saya mengambil keputusan berdasarkan beberapa faktor yang dihuraikan di bawah.

  • Bahasa dan budaya Switzerland boleh dibahagikan kepada 3 iaitu Jerman, Perancis dan Itali.   Saya pastikan agar lokasi lawatan kami meliputi ketiga-tiga budaya dan bahasa ini. Sebagai contoh Geneva untuk Perancis, Zurich untuk Jerman dan Lugano untuk Itali.
  • Kemuncak gunung dan salji merupakan definisi Switzerland. Kebetulan juga menyentuh salji merupakan hasrat kedua ibubapa saya. Mujurlah salji di sini boleh dinikmati setiap tahun, maka kami bermalam di  Zermatt untuk ke puncak Klein Matterhorn yang tingginya 3800 meter dari paras laut.
  • Menaiki bot mengelilingi tasik harus dilakukan di sini. Meskipun Switzerland tidak mempunyai laut, terdapat banyak tasik besar yang menyediakan perkhidmatan bot. Kami memilih untuk menaiki bot tiga tingkat daripada Thun ke Interlaken.
  • Bandar lama dan istana di Switzerland dibina seawal tahun 1200 dan ianya boleh dilihat hampir di setiap bandar-bandar utama di sini. Saya memilih pekan kecil Gruyere dan Istana Oberhofen.

Maka terhasillah aturcara di bawah ini.

Hari Acara
Hari Pertama Tiba di Lapangan antarabangsa Zurich. Bertolak dari Zurich ke Bern.Bermalam di Bern.
Hari Kedua Menjelajahi Bandar Lama Bern, Warisan Dunia UNESCO. Bermalam di Bern.
Hari Ketiga Mengenali pekan Thun dan menaiki bot ke pekan Interlaken. Membeli cenderamata (jam) di Interlaken. Bermalam di Bern.
Hari Keempat Melawat Museum dan kilang cokelat Cailler. Singgah di Kampung Zaman Pertengahan Gruyere. Bermalam di Bern.
Hari Kelima Bertolak ke Zermatt di awal pagi. Kereta menaiki keretapi melalui terowong Lotschberg. Daftar masuk penginapan dan terus menaiki 3 kereta kabel menuju ke Matterhorn Glacier Paradise. Bermain Salji dan memasuki istana ais. Bermalam di kampung Zermatt.
Hari Keenam Bersiar-siar berjalan kaki sekitar kampung Zermatt. Bertolak ke Locarno merentasi genting Nufenen. Bermalam di Locarno.
Hari Ketujuh Melawati bandar Ascona tidak jauh dari Locarno. Bermalam di Locarno.
Hari Kelapan Bertolak ke Lugano, bersiar-siar di bandar pinggir tasik. Bermalam di kampung Cademario, Hotel Spa yang berusia ratusan tahun.
Hari Kesembilan Singgah di Foxtown Outlet, Mendrizio untuk membeli belah.Tidak berlaku kerana keletihan. Bertolak ke Bern. Bermalam di Bern.
Hari Kesepuluh Menjelajahi Bandar Pelancongan Lucerne sambil membeli cenderamata untuk di bawa pulang. Bermalam di Bern.
Hari Kesebelas Berjalan kaki di sekitar bandar Zurich, membeli belah dikedai dan gedung.Bermalam di Bern.
Hari Keduabelas Pusing sekitar pejabat-pejabar Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga sesiaran pinggir tasik Geneva. Bermalam di Bern.
Hari Ketigabelas Menerokai istana lama Oberhofen berdekatan Tasik Thun. Bermalam di Bern
Hari Keempatbelas Bersiap untuk pulang ke tanah air. Bertolak ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich

Jika anda perasan hanya satu daripada keseluruhan aktiviti terpaksa dibatalkan kerana kami kepenatan dan perjalanan balik dari Lugano ke Bern mengambil masa yang agak lama (hampir 4 jam). Elakkan daripada membentuk jadual yang ketat kerana ianya akan menyebabkan kita keletihan dan tidak lagi menikmati aktiviti yang dirancang.

Diharapkan perkongsian saya kali ini dapat membantu pembaca sekalian merancang percutian masing-masing. Merancang percutian mampu mengawal perbelanjaan, mengurangkan stress dan merealisasikan impian anda!

 



Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.