Kenapa pendatang lebih berjaya?



Setiap kali balik ke Malaysia, saya sering terdengar  mereka yang berkata, “Lihatlah negara kita ini, bersepah dengan pendatang, tidak lama lagi habis ekonomi akan dikuasai oleh pendatang asing. Dulu mereka berkerja sebagai kuli orang sahaja, sekarang ini sudah mula jadi taukeh dan kaya raya”

Orang tempatan dengkikan kejayaan pendatang.  Saya hanya mampu tersenyum setiap kali orang kita melepaskan perasaan tidak puas hati kepada pendatang.  Kerana, di luar Malaysia saya juga  pendatang asing! Saya boleh katakan kerana menjadi pendatang saya lebih berjaya berbanding jika saya tidak pernah keluar Malaysia.

Ketika di Malaysia, selaku warganegara dan juga bumiputera saya leka kerana saya tahu saya ada kelebihan berbanding rakyat asing ataupun bangsa lain. Kelebihan untuk berjaya di dalam semua bidang baik dalam akademik mahupun perniagaan adalah berganda  dengan pelbagai kemudahan dan bantuan. Secara tidak sedar saya menjadi selesa dan tidak runsingkan masa depan. Buat apa gelisah memikirkan masa hadapan kerana segalanya dibentangkan dengan permaidani merah. Tanah ini milik kita, justeru itu kejayaan  juga milik kita. Saya terlalu selesa.

Namun saya diberikan kejutan saraf apabila membuat keputusan untuk berhijrah ke United Kingdom pada Ogos 2004 dengan sehelai sepinggang dan juga tanpa restu keluarga. Tindakan saya juga diperlekehkan oleh rakan-rakan. Ramai yang mengatakan yang saya akan gagal dan balik mengalah.

Bayangkan, seorang anak muda yang hidupnya selesa, tidak pernah berkerja berat seumur hidup, tetiba menjadi pendatang di bumi asing. Baru saya sedar realiti hidup. Saya sangkakan segulung ijazah dari universiti tempatan mampu memberi kerjaya hebat dengan gaji Pound Sterling.

Maaf, segulung ijazah saya tiada nilai di dunia pekerjaan di sana, apatah lagi dengan sifar pengalaman. Beratus-ratus kerja saya minta, namun di tolak. Saya mula sedar yang saya tidak boleh memilih kerja. Sampai bila saya ingin menumpang bilik dan meminta makan minum sahabat sependatang tanpa bayaran?

Mencari kerja adalah satu proses yang mencabar. Tidak pernah di dalam hidup saya ditolak, diperlekehkan dan dipandang serendah-rendahnya. Merayu dan meminta seumpama pengemis.  Ingin pulang ke tanahair dan mengalah? Teringin juga tetapi, apakan daya, saya tiada duit untuk tambang kapal terbang!

Akhirnya saya diberi peluang berkerja sebagai pembantu kedai. Rakan sekerja saya terdiri daripada masyarakat tempatan dan juga pendatang seperti saya daripada Somalia, Pakistan, Nigeria, China, Afrika Selatan dan lain lain.

Insan yang  bertubuh kenit ini terpaksa mengangkat kotak-kotak berat, tapak tangan yang sebelum ini dipuji kerana kelembutannya mula menjadi kasar.  Jika di Malaysia saya mungkin tidak sanggup untuk berkerja sebegini. Maklumlah, apa kata orang. Ada ijazah tetapi kerja rendah. Tetapi di sini,saya tebalkan muka mencuci tingkap dan kaki lima kedai. Ada pula yang sengaja membuang sampah di depan mata setiap kali saya menyapu sampah.  Perasaan malu saya buang jauh-jauh.

Dalam masa yang sama saya perhatikan perbezaan mentaliti kerja antara rakyat tempatan dan rakyat asing. Meskipun jawatan kerja yang sama, perkerja tempatan menerima layanan yang lebih. Mereka boleh memilih tugasan yang lebih senang. Datang lewat, pulang awal, lepak semasa berkerja menjadi amalan seharian. Dibuli oleh mereka menjadi perkara biasa. Kekadang mereka agak biadap dengan pengurus.

Pernah saya terdengar bos saya mengeluh mengatakan, kalau ikutkan hati, mahu sahaja dibuang kerja rakyat tempatan. Beliau sukakan pekerja asing kerana kami lebih rajin dan tekun berkerja.

Rakyat tempatan penuh dengan kelebihan. Dengan beberapa syarat mereka layak menerima bantuan  untuk setiap anak, penginapan percuma, bantuan untuk melanjutkan pelajaran dan kemahiran dan banyak lagi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan mereka berubah kepada yang lebih baik. Tetapi mereka terlalu selesa. Ramai yang menyalahgunakan bantuan.  Sikap mereka tidak ubah seperti sikap saya berada di tanah air dahulu!

Kami sebagai pendatang hanya mampu melihat keselesaan mereka dan dalam masa yang sama bertekad untuk berkerja keras untuk menjadi lebih baik daripada mereka.

Setiap sen gaji yang saya dapat , saya simpan. Untuk menjimatkan kos saya tidak menaiki bas sebaliknya berjalan kaki ke tempat kerja.  Beberapa kali baju uniform saya basah kerana di simbah oleh bas yang lalu di lopak air hujan.  Jika dulu SOGO di mana saya membeli baju, kini ditukar kepada kedai kebajikan yang menjual barangan terpakai.

Sakit demam saya keseorangan, cuaca sejuk mejadi penambah rindu ke tanah air. Bilik kecil yang saya sewa  kekadang lebih sejuk daripada peti sejuk. Namun saya panaskan diri dengan membakar semangat untuk berkerja keras dan berjaya. Saya tidak sanggup pulang ke tanah air dengan tangan kosong. Saya perlu berjaya!

Lebih setahun berlalu selepas itu, simpanan saya juga meningkat. Dalam masa yang sama permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran di universiti ke peringkat Ijazah Sarjana juga diterima.

Menyedari bertapa pentingnya pendidikan, saya laburkan kesemua simpanan saya untuk  belajar. Selaku rakyat asing, kos pendidikan saya dikenakan berganda berbanding rakyat tempatan. Pada suatu masa kesemua simpanan saya kehabisan, nasib baiklah saya diberi hutang oleh kenalan di sini. Tiada bantuan daripada tanah air termasuk daripada ibubapa saya. Cukuplah dengan pengorbanan mereka untuk pengajian saya di tanah air sebelum ini.

Saya tidak mampu gagal, saya terpaksa belajar bersungguh-sungguh. Tiada peluang untuk mengulang semester, duit saya terhad. Alhamdulillah, akhirnya berjaya, markah saya menandingi rakan sekelas yang lain.

Namun itu hanyalah permulaan bagi kehidupan saya sebagai perantau di bumi bekas penjajah kita United Kingdom. Kisah pengembaraan saya bermula kepada titik permulaan kembali setelah tamat pengajian selepas itu. Destinasi seterusnya ke negara yang cukup asing bagi saya Switzerland!

Apa yang  saya ingin rumuskan di sini;

– Kejayaan kita ditentukan dari awal oleh sikap kita dan kita boleh berubah sikap. Jika anda berada di posisi mempunyai kelebihan seperti anugerah status rakyat tempatan, bumiputera dan sebagainya, gunakan kelebihan itu sebagai bantu loncatan untuk berjaya. Berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

-Jangan sekali-kali dengkikan kejayaan orang lain, lihat di belakang tabir kejayaan mereka. Mungkin ada boleh mengaut ilmu daripada kejayaan mereka. Menyalahkan orang lain kerana nasib kita yang malang hanya merugikan diri sendiri.

-Keterdesakan merupakan salah satu faktor yang mampu menolak anda ke hadapan. Ianya mampu membakar semangat anda untuk tidak mengaku kalah. Pendatang asing berusaha keras kerana mereka terdesak.

-Pandanglah setiap insan sama-rata dan jangan sekali merendah-rendahkan insan lain. Tidak lebih mulia kita dengan bangsa, keturunan mahupun gelaran. Insan yang anda perlekehkan hari ini tidak mustahil menjadi majikan anda di masa hadapan!

-Keluarlah daripada kepompong dengan mengembara ataupun berhijrah. Ianya tidak semestinya ke luar negara. Ke luar negeri juga mampu memberi impak yang sama sekiranya anda memerhati dan berfikir. Persekitaraan yang asing dan putusnya keselesaan boleh memberi kejutan saraf dan membuka minda anda.

Sekadar ingin berkongsi…

Nota kaki: Pendatang di sini merujuk kepada warganegara asing yang berjumlah jutaan mencari rezeki di Malaysia. Penulis percaya kejayaan sesebuah negara bergantung kepada semua rakyatnya  dan bukannya hasil sumbangan sesetengah bangsa sahaja.

Apa komen anda?