Di Switzerland, tiada ibu bapa memandu anak ke sekolah setiap hari.



Jika anda  mempunyai anak yang masih bersekolah, bagaimanakah anak-anak anda ke sekolah setiap hari? Saya masih ingat lagi di waktu kecil dahulu, kami adik beradik ke sekolah menumpang kereta ibu bapa kami. Sekolah kami terletak 6 kilometer dari rumah. Kereta yang dipandu oleh bapa saya umpama bas sekolah, setiap pagi perlu singgah di dua buah sekolah dan dua pejabat.

Namun stress pagi seperti ibu bapa saya dan mungkin juga banyak ibu bapa Malaysia yang lain tidak berlaku di Switzerland ini .Kanak-kanak sekolah di sini hanya ke tadika ataupun ke sekolah mereka dengan berjalan kaki mahupun berbasikal. Cuba tanya ibu bapa mereka, perlukah menghantar anak mereka ke sekolah dengan kereta? Mereka rata-rata menjawab, ini Switzerland bukannya Amerika (atau mungkin Malaysia!) Kami dibesarkan dengan ke sekolah sendiri, begitu juga dengan anak-anak kami.

Mengikut soal selidik yang dijalankan hanya 22 %  peratus pelajar berjalan kaki atau pun berbasikal lebih daripada 2 kilometer ke sekolah. Selebihnya, jarak sekolah mereka kurang daripada itu.  Hampir satu perempat daripada mereka tinggal antara 100 meter-500 meter dari sekolah. Setiap rumah yang mempunyai pelajar sekolah tinggal tidak jauh daripada sekolah mereka.

Survey

Ini adalah salah satu perancangan cekap masyarakat di sini. Tidak kira di bandar mahupun di luar bandar, sekolah perlu wujud secukupnya di setiap kampung dan bandar.  Sebagai contoh, kawasan kampung saya saya tinggal seluas 7.6 kilometer persegi dan terdapat 900 kanak-kanak sekolah rendah. 900 ratus pelajar ini bukanny pergi ke sebuah sekolah,  tetapi  mereka dibahagikan kepada 6 buah sekolah yang paling dekat dengan rumah mereka. Ini bermakna purata pelajar di satu setiap sekolah di kampung saya hanyalah 150!

Sekolah yang berdekatan merupakan salah satu kelebihan namun faktor paling penting adalah keselamatan. Memandangkan kadar jenayah di sini amat rendah dan semangat komuniti yang kuat, tidak hairanlah jika saya melihat kanak-kanak sekecil 5 tahun berjalan seorang diri pergi dan balik dari tadika. Bila bertembung dengan orang dewasa mereka diajar untuk memberi ‘salam’. Comel sekali akhlak mereka.

Tema majalah mingguan, keselamatan ke sekolah.
Tema majalah mingguan Coop, keselamatan ke sekolah.

Risiko yang paling besar di sini adalah kenderaan di jalan raya terutama bagi pelajar sekolah di bandar. Kanak-kanak di sini diajar oleh ibubapa mereka untuk mematuhi peraturan jalan raya. Melintas jalan hanya di landasan zebra dan tidak melintas selagi mana kenderaan tidak berhenti. Kekadang ketika saya berbasikal ke tempat kerja, saya sering melihat kanak-kanak tadika berlatih melintas jalan sambil di awasi oleh guru dan polis.

Undang-undang jalan-raya di sini juga penting. Pejalan kaki merupakan raja di jalan raya, bukannya pemandu kereta. Hukuman amat berat dikenakan kepada pemandu kenderaan sekiranya kemalangan mereka melibatkan pejalan kaki lebih-lebih lagi sekiranya berlaku di landasan zebra.

traffic light
Kanak-kanak melintas jalan seorang diri.

Bergantung kepada komuniti, kanak-kanak yang baru memulakan sekolah terlebih dahulu perlu membiasakan diri mereka dengan jalan ke sekolah. Perkhidmatan ‘pedibus’ yang membawa maksud bas berjalan kaki disediakan di mana seorang dewasa menemani kumpulan kanak-kanak ini pergi dan balik dari sekolah. Lihatlah video khas ditujukan kepada pedibus ini. Perhatikan perjalanan mereka yang merupakan realiti sebenar perjalanan kanak-kanak sekolah di sini.

Kesimpulannya daripada pemerhatian saya di sini, persekitaran, perundangan dan mentaliti masyarakat di sini melatih generasi muda mereka dari awal untuk berdikari, berfikir dan bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka. Kemahiran asas ini dibekalkan dari awal untuk mereka menghadapi dunia yang penuh cabaran ini.

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.