Budaya rasuah dan kejatuhan kerajaan Yunani



Gambar hiasan, puing sebegini merupakan warisan senibina Tamadun Yunani
Gambar hiasan, puing sebegini merupakan warisan senibina Tamadun Yunani

Jika anda mengikuti perkembangan dunia semestinya anda terbaca mengenai isu kerajaan Yunani yang tercekik dengan hutang. Pemberi hutang seluruh  dunia meminta wang mereka kembali dan kerajaan ini tidak mampu membayar hutang tersebut dengan masa dan jumlah yang ditetapkan.  Ini menyebabkan saya tertanya-tanya apakah yang menyebabkan kerajaan ini  tenat sehinggakan ianya tidak mampu membayar duit kepada para pesara mereka?

Satu faktor daripada ribuan yang menyebabkan tragedi ini terjadi adalah budaya rasuah yang menjadi darah daging kerajaan dan masyarakat Yunani.  Jika anda seorang yang pernah memberi duit kopi, begitulah juga kebanyakan rakyat Yunani. Duit kopi di dalam bahasa Yunani bebunyi ‘Fakelaki’ yang bermaksud sampul surat kecil. Fakelaki diserahkan bersama fail kepada kakitangan kerajaan untuk mempercepatkan temujanji  dan juga untuk memudahkan proses mendapatkan permit dan sebagainya. Dianggarkan sebanyak  3,5 billion Euro digunakan oleh rakyat Yunani untuk merasuah kakitangan dan jabatan-jabatan kerajaan. Kakitangan kerajaan merupakan sejumlah besar daripada penduduk Yunani. Pada tahun 2011 dianggarkan suku daripadanya bekerja dengan kerajaan.

Rasuah melemahkan negara Yunani. Dengan rasuahlah, banyak perniagaan gelap berleluasa seperti pelacuran, pengedaran dadah, penyeludupan barangan tanpa cukai dan sebagainya.  Sempadan negara Yunani juga lemah dengan rasuah. Kemasukan penjenayah daripada negara luar menyebabkan separuh daripada jenayah di Yunani dilakukan oleh pendatang luar.

Rasuah yang berleluasa menyebabkan pendapatan kerajaan Yunani berkurangan. Para usahawan dan peniaga lebih sanggup membayar rasuah daripada membayar cukai. Duit yang sepatutnya mengalir untuk kemakmuran rakyat masuk ke poket kakitangan kerajaan. Ahli politik Yunani pernah mengeluarkan  kenyataan bahawa sukan rasmi rakyat Yunani adalah mengelak cukai! Satu sukan yang mahal kerana ianya menyebabkan cukai berjumlah 30 Billion Euro menjadi abu dan asap.

Kecewa dengan keadaan negara yang parah ini ramai rakyat Yunani  berhijrah ke luar. Dianggarkan 3 juta rakyat Greek tinggal di luar  berbanding sejuta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara buat masa ini. Ramai antara mereka berpendidikan tinggi dan juga usahawan yang berjaya.

Sebagai contoh adalah George Koukis yang mempunyai harta berjumlah 500 juta Euro. Kekayaannya adalah hasil kerja kuat setelah beliau keluar daripada Yunani.  Beliau kini tinggal dan membayar cukai di Switzerland. Beliau  amat lantang mengkiritik kerajaan dan juga tabiat buruk rakyat  Yunani. Di dalam satu temuramah Koukis menyatakan pencuri besar duit negara Yunani adalah tidak lain daripada golongan pemimpin negara yang terlalu lama berada di atas sehinggakan mereka tidak dapat membezakan yang mana poket sendiri dan poket kerajaan. Rakyat pula sangat bodoh memilih kelompok yang sama untuk memerintah negara Yunani.  Memang benar, pemimpin politik di negara Yunani terdiri daripada sanak-saudara dan kenalan daripada empat dinasti iaitu Papandreou, Karamanlis and Mitsotakis. Merekalah yang menguasai politik Yunani sejak tahun 1944 lagi.

Namun Yunani yang tenat ini akhirnya sedar sedikit, pada tahun 2015 ini, mereka akhirnya mempunyai seorang Perdana Menteri yang bukan daripada dinasti ataupun golongan atasan. Perdana Menteri yang berusia 40 tahun ini mewarisi segala kekacauan dan kekalutan yang sudah berakar umbi. Mampukah beliau menyelamatkan negara yang dahulunya sangat gemilang ini?

Kisah Yunani ini merupakan kisah ulangan tamadun manusia. Ianya pernah berlaku beratus-ratus kali dan sudah pastinya akan berulang kembali. Masyarakat manakah yang akan menghadapi  tragedi yang sama seperti ini? Lihatlah ciri-ciri di atas, jika ianya wujud pada sesuatu masyarakat, maka ianya mengikuti jalan yang sama seperti negara Yunani.

Saya akhiri tulisan ini dengan petikan terjemahan Surah Ar-Rad Ayat kesebelas yang berbunyi,  “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Sumber rujukan;

http://diepresse.com/home/wirtschaft/international/500632/Korruption-und-Steuerhinterziehung_Griechenland-versinkt-im-Sumpf

http://www.economist.com/news/europe/21565657-greek-tax-dodgers-are-being-outed-national-sport-no-more

http://www.tagesschau.de/ausland/griechenland-337.html

http://blogs.ft.com/the-world/2015/01/greek-political-dynasties-will-bide-their-time/

 

Apa komen anda?