Budaya bersaing dan bertanding, pandangan dari sini.



Saya dibesarkan di tanahair di mana pertandingan dan persaingan wujud di mana-mana sahaja. Sekurang-kurangnya itulah yang saya alami.  Di alam persekolahan saya perlu bertanding untuk mendapat nombor teratas. Begitu juga di alam universiti, bertanding untuk mendapat markah terbaik. Bertanding untuk memenangi hati pensyarah.

Dalam kehidupan harian pula si ibu bapa bertanding menayangkan kejayaan anak-anak mereka, daripada keputusan peperiksaan anak, hinggalah kepada gaji anak, jawatan menantu dan sebagainya. Jiran-jiran pula sibuk bertanding siapa dahulu  yang dapatkan membesarkan rumah atau kenduri siapa yang paling besar, sehinggakan kepada siapa yang terdahulubeli langsir baru. Di pejabat pula kita bertanding siapa yang dapat kereta baharu dahulu, atau siapa yang dapat naik pangkat dahulu.

Pertandingan dan persaingan yang tiada kesudahannya. Sekiranya kita menang kita bangga, tetapi bangga itu sekejap sahaja. Kemudian kita terjebak dengan pertandingan lain. Sekiranya kita kalah kita terasa gagal. Perlukan kita bertanding di dalam roda kehidupan yang tiada kesudahannya ini?

Apa yang saya perhatikan di dunia yang jauh daripada tanahair di sini, kita boleh maju tanpa berlumba atau bertanding. Malah kejayaan kita lebih bermakna tanpa rasa berdengki dan tidak puas hati dengan kejayaan orang lain.

Di sini, kanak-kanak tidak diajar untuk membanding diri mereka dengan kanak-kanak lain. Di sekolah tiada papan tanda yang menunjukkan yang anda nombor satu teratas di sekolah ataupun nombor tercorot di dalam sekolah tersebut. Yang ada hanyalah gred di atas kad pencapaian bukannya carta untuk tayangan orang ramai.

Antara sekolah pula tiada persaingan. Di sini tiada sekolah terbaik yang ibubapa berlumba-lumba untuk menyumbatkan anak mereka ke dalamnya. Jauh sekali pertandingan sekolah tercantik dan sebagainya-Tiada juga asrama penuh untuk rakyat biasa (Sekolah berasrama mewah hanya untuk mengaut keuntungan daripada pelajar antarabangsa). Pelajar di sini semuanya belajar di sekolah yang terdekat dengan rumah mereka. Dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Dengan jarak yang dekat, kesemua pelajar tersebuat hanya perlu berjalan kaki, atupun menaiki basikal ke sekolah. Tiada masalah kesesakan jalan raya di mana ibu bapa sibuk mengambil dan menghantar anaknya.

Sekolah bukanlah medan bertempur untuk persaingan dan pertandingan, tetapi kebun untuk menyemai kemahiran  Kemahiran untuk berinteraksi dengan manusia, dengan alam sekitar. Kemahiran untuk tidak membandingkan diri dengan manusia lain. Kemahiran untuk berinteraksi dengan manusia biasa ataupun mereka yang berbeza. Kemahiran untuk mengenali potensi diri dan mengasahnya untuk berjaya, kerana minat, bukan kerana orang lain.

Di sini saya berpeluang untuk mengenali pelajar-pelajar universiti.  Semua yang saya kenali belajar ke universiti kerana minat, bukan kerana dipaksa oleh ibu bapa mereka yang inginkan anak mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan. Bila mereka belajar dengan minat, maka mereka lebih bertanggungjawab terhadap pelajaran mereka. Saya juga seringkali bertanya apakah cita-cita para ibu bapa di sini. Mereka rata-ratanya menyatakan yang mereka tiada hak untuk menentukan masa depan anak mereka. Tiada hak untuk memilih kerjaya untuk anak mereka. Dan mereka akan memberi sokongan sepenuh hati terhadap minat dan kecenderungan anak mereka. Anak sebelum dewasa,  adalah amanah, bukannya pelaburan yang boleh dikaut hasilnya  dan  bukannya trofi!

Ketika saya mula-mula berkerja di sini saya rasa tertekan dan takut. Kerana di dalam minda , saya perlu bersaing dan bertanding dengan pekerja lain. Saya tidak boleh melakukan kesalahan kerana ianya akan menjejaskan prestasi saya. Saya juga peka mencari kesalahan orang lain untuk mengurangkan persaingan saya. Rakan sepejabat adalah musuh!  Namun strategi  saya tidak berguna sama sekali.

Di sini kejayaan individu tidak wujud. Pencapaian individu diiktiraf tetapi tidak diraikan.  Yang diraikan adalah kejayaan kumpulan. Dengan kegagalan pula, tiada sekali ditumpukan menghukum siapa yang membuat masalah tetapi ditumpukan beramai-ramai untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut.

Kini saya tidak lagi cuba untuk bertanding dan bersaing serta membandingkan diri dengan orang lain. Ianya mungkin berguna untuk memotivasikan sesetengah orang tetapi saya lebih percaya yang kita akan lebih maju dan berjaya sekiranya kita berusaha gigih kerana minat bukannya  untuk membuktikan kepada orang lain yang kita adalah pemenang kepada perlumbaan yang tiada hujungnya.

 

Gambar hiasan, pertandingan ratu cantik lembu di St Gallen, Switzerland, Pertandingan yang sangat diminati ramai.

Apa komen anda?