Bekerja dan berguru dengan orang Yahudi.



Ketika saya masih di bawah tempurung dahulu saya sering diomok-omokkan oleh bangsa saya yang gemar menyalahkan bangsa lain di atas kegagalan bangsa saya sendiri. Jika kita tidak kaya, kita salahkan bangsa Cina yang gigih berusaha. Jika kita kerja di takuk lama kita salahkan orang Bangla atau Indon yang dahulunya datang sebagai buruh kasar tetapi sekarang sudah mempunyai bisnes sendiri. Ada bangsa yang selalu dikecam oleh bangsa saya tetapi bangsa saya tidak pernah sekali mengenali bangsa ini secara langsung. Mereka tinggal jauh daripada Malaysia dan tiada campur tangan dalam urusan hidup bangsa saya. Mereka ialah bangsa Yahudi.

Pertama kali saya berinteraksi dengan bangsa ini ketika saya menjaga kedai komputer di Manchester. Kawasan Cheetham Hill ini kaya dengan masyarakat majmuknya. Orang Poland, Pakistan, Yahudi, Irish dan juga dari negara Afrika hidup aman damai di dalam satu komuniti. Oleh sebab itu saya berpeluang berinteraksi dengan pelbagai jenis pelanggan di kedai saya bekerja.

Pertama kali saya melihat mereka yang bertopi hitam, berbaju hitam dan berjambang saya rasa takut. Takut kerana apa yang saya belajar mengenai bangsa ini ketika di tanahair yang penuh dengan perkara negatif sahaja. Namun realiti yang saya lihat jauh sekali berbeza dengan khabar yang saya dengar dari mulut-ke mulut sebelum ini. Mereka sama dengan bangsa lain. Ada yang kaya, ada yang miskin. Ada juga yang biadap namun biadapnya tidak lebih atau kurang berbanding dengan pelanggan saya yang berbangsa lain. Saya gembira berkerja dengan pelbagai kaum di sini. Namun yang menyedihkan, tukang buli di tempat kerja saya  adalah rakan seagama yang amat bangga dengan dirinya yang  ke masjid setiap hari.

Saya berpeluang mengenali orang Yahudi dengan lebih dekat setelah diterima berkerja di satu syarikat penyelidikan biotek. Tuan dan Puan Clozel asalnya merupakan doktor. Jean Paul Clozel sebelum ini adalah pakar sakit jantung dan Martina Clozel pula pakar kanak-kanak. Ketika mereka berdua bekerja sebagai penyelidik di syarikat ubat gergasi dunia, mereka berjaya menemui satu bahan yang boleh merawat penyakit darah tinggi arteri pulmonari, sejenis penyakit yang amat jarang. Mereka menubuhkan syarikat sendiri ekoran kekecewaan kerana syarikat gergasi tersebut tidak percaya yang bahan yang ditemui tersebut mampu membawa keuntungan.

Pasangan ini merupakan pasangan yang gigih berusaha dan mesra dengan semua perkerjanya. Di syarikat ini terdapat lebih daripada 40 warganegara pelbagai bangsa dan agama termasuk pekerja yang beragama Islam. Di sini saya melihat bagaimana orang Yahudi, Islam, Kristian, Buddha dan Atheist duduk semeja berbincang mencari penawar buat penyakit yang jarang dihidapi manusia. Ketika beratur di kantin seringkali saya melihat pasangan ini beratur bersama kami untuk mengambil makan tengahari. Ditegur setiap perkerjanya dengan ramah dan mesra.

Di sini saya pada mulanya berkerja sebagai pembantu. Saya diberi tunjuk ajar dengan tekun oleh Dr Giom. Beliau merupakakan seorang saintis Yahudi warganegara Perancis. Sepanjang mengenali beliau saya perhatikan kami mempunyai banyak persamaan. Giom amat menjaga pemakanannya. Segala makanannya haruslah kosher. Kerana amat sukar untuk mendapatkan daging kosher Giom membeli daging halal dari kedai muslim yang lebih mudah didapati. Seringkali Giom memasak untuk kami sekumpulan.

Hasil tunjuk ajar Dr Giom dan ahli kumpulan yang lain saya dinaikkan pangkat. Di sini saya lihat  semua perkerja dilayan sama rata. Mereka yang berkerja kuat akan diberi ganjaran tanpa mengira bangsa, agama ataupun warna kulit. Rakan sekerja saya Aishah, seorang wanita berkulit hitam dan bertudung juga berjaya dinaikkan pangkat kerana kebolehan dan kegigihannya berkerja.

Kemudian saya diberi tanggungjawab menyelia pelajar yang berkerja separuh masa di sini. Saya berpeluang berkenalan dengan Yuval, remaja bangsa Yahudi berkerakyatan Swiss. Yuval sama seperti remaja-remaja lain di sini. Mempunyai cita-cita, gigih belajar dalam masa yang sama bekerja untuk menyara pembelajarannya. Tidak timbul sedikitpun isu yang kami ini jauh sekali beza dari segi latarbelakang. Kadangkala Yuval datang kepada saya meminta nasihat mengenai kehidupan di universiti dan juga isu memilih karier untuk masa depan.

Sekarang saya berkerja di Universiti. Di sini saya berpeluang bekerja dengan lebih rakyat tempatan berbanding perkerja antarabangsa. Menyedari keperluan untuk fasih berbahasa Jerman, saya mengikuti kelas bahasa seminggu sekali bersama rakan-rakan sekerja lain.

Puan Carola adalah cikgu bahasa Jerman saya. Pertama kali saya bertemu saya terkejut besar. Bayangkan bila anda bertemu dengan seorang wanita pertengahan umur, rambut panjang beruban dan berpakaian serba gelap! Namun perasaan takut itu hanyalah sementara. Carola merupakan seorang wanita Yahudi yang pakar dalam bahasa Jerman dan juga istilah penyelidikan. Kerana kepakarannya, ramai doktor dan penyelidik di sini termasuk penyelidik Arab Muslim di sini menggunakan perkhidmatannya untuk meneliti semula laporan saintifik sebelum ianya diterbitkan ke dalam jurnal.

Carola amat menghormati pelajarnya. Setiap kali Ramadan, beliau mengucapkan selamat berpuasa kepada saya. Saya juga belajar sedikit mengenai budaya Yahudi. Diajarnya saya yang sedikit bebal dengan bahasa Jerman ini dengan tekun. Generasi Carola merupakan generasi yang masih merasai  serpihan penindasan bangsa Yahudi di Eropah pada era Hitler. Diceritakan kepada kami bagaimana keluarganya terpaksa menukar kepada nama Kristian kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Mengenali insan-insan yang dilabelkan sebagai Yahudi ini membuka minda saya. Konsep bangsa dan kaum yang diajar ketika saya di tanahair tidak boleh diguna pakai di dalam kehidupan saya. Saya dahulu membenci golongan yang saya saya tidak pernah kenali. Ini adalah satu kebencian yang sia-sia. Memang Zionis menindas rakyat Palestin, tetapi melabelkan semua Yahudi di seluruh dunia itu jahat seumpama melabel seluruh umat Islam itu pengganas. Bagi saya semua manusia itu sama sahaja. Yang membezakan kita adalah akhlak dan perilaku kita sesama manusia. Saya juga belajar agar tidak prejudis kepada insan hanya kerana bangsa, agama atau warna kulitnya.

Sebelum kita membenci insan atau golongan  lain, ambil masa untuk kita kenali mereka dahulu. Sejarah membuktikan yang banyak darah mengalir kerana kita terlalu melabelkan sesama manusia berdasarkan agama, warna kulit dan juga bangsa. Dunia ini akan lebih aman sekiranya kita mengalirkan tenaga untuk mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Sunflower
Gambar hiasan, bunga matahari yang diambil tidak jauh dari rumah penulis

Apa komen anda?