Bagaimana untuk menetap dan bekerja di Switzerland?


Sejak halaman ini mula dikenali pembaca, penulis seringkali menerima pertanyaan yang hampir sama iaitu bagaimana untuk berkerja di Switzerland?

Saya akan cuba menjawab soalan di atas berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya yang terhad ini. Namun perlu diingat, setiap sistem, ada jalan belakangnya.  Saya hanya akan paparkan di sini  jalan yang betul di sisi undang-undang. Di tangkap kerana tidak mematuhi undang- undang  adalah satu perbuatan yang menjatuhkan nama baik negara di mata dunia. Sebagai contoh bekerja secara tidak sah dengan datang sebagai pelancong ataupun tinggal di sesuatu negara melebihi masa yang ditetapkan. Nama anda akan disenarai hitam dan anda akan dihalang daripada menjejaki bumi Eropah untuk selama-lamanya.

Kenyataan saya di bawah ini mungkin juga sama dengan negara Eropah lain.

 1- Ini adalah paling senang, kahwin dengan rakyat Switzerland. Jika anda seorang  LGBT, anda juga mendapat hak yang sama sekiranya perhubungan anda dengan rakyat Switzerland didaftarkan di sini.  Secara automatik anda diberikan taraf penduduk sementara dan perlu diperbaharui setiap tahun. Ini bukan bermakna anda akan diberi kerja secara automatik. Anda perlu mula menguasai bahasa kebangsaan mereka (sama ada Bahasa German, Perancis, mahupun Itali). Kelayakan anda munkin ada nilai mahupun tiada nilai langsung. Bersedialah untuk bermula dari bawah. Sejumlah rakyat Malaysia bermastautin dan mencari rezeki di sini kerana cinta.

2- Anda merupakan rakyat asing yang berkerja di bawah syarikat Switzerland yang beroperasi di serata dunia. Saya ada bertemu beberapa rakyat Malaysia yang dihantar untuk bekerja di ibu pejabat syarikat mereka di sini. Ada yang datang untuk berbulan, bertahun atau ditukar berkerja di sini secara tetap. Mereka biasanya berjawatan tinggi.

3-Anda merupakan seorang yang berkelayakan mahupun mempunyai kemahiran khas yang diperlukan di Switzerland. Majikan di sini perlu membuktikan bahawa anda adalah calon yang paling layak dan tiada rakyat Switzerland mahupun rakyat dari Kesatuan Eropah yang mampu memenuhi kekosongan yang ditawarkan. Saya ada berjumpa ramai pakar Sushi dari Malaysia  yang datang pada tahun 80an dan terus menetap di sini.  Seorang pakar IT dari Malaysia mulanya ditugaskan untuk satu projek sementara di Switzerland, kemudian ditawarkan untuk berkerja tetap di sini.

 4-Anda merupakan seorang pelarian mengikut definisi antarabangsa dan diterima oleh Switzerland, biasanya mereka ini menunggu untuk jangka masa yang lama sebelum diiktiraf dan dibenarkan bekerja. Ramai pelarian  dari Sri Langka, Bosnia, Kosovo dahulunya kini menjadi rakyat Switzerland.  Saya pernah berjumpa seorang rakyat Swiss berketurunan Vietnam. Beliau dilahirkan di kem pelarian di Malaysia sebelum keluarganya dibawa ke Switzerland.

 Perlu diingat, Switzerland merupakan negara yang menjadi tumpuan ramai rakyat asing  dari Eropah dan juga serata dunia. Peluang anda mungkin tipis tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

 Sebagai contoh seorang rakyat Malaysia mencuba nasib menghantar permohonan untuk berkerja di satu syarikat di Switzerland ,meskipun tanpa pengalaman dan baru tamat belajar daripada sebuah universiti swasta di Malaysia, beliau mendapat peluang keemasan untuk bekerja di sini.

DSC01724
Pelajar sekolah menengah sedang mendengar ceramah penulis mengenai alam perkerjaan di dalam bidang sains.




Leave a Reply to Khabar dari Switzerland Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.