Ladang kaviar di kawasan pergunungan Switzerland.



Sebelum ini saya ada menulis mengenai  Masoala Halle, dom yang menempatkan hutan hujan tropika di tengah-tengah bandar Zurich. Rupa-rupanya  terdapat beberapa tempat yang menempatkan rumah hijau seperti ini di Switzerland ini. Lawatan pejabat saya kali ini ialah ke Tropenhaus Frutigen. Tropenhaus membawa maksud rumah Tropika. Saya bersama 80 puluh rakan sekerja yang lain memulakan aktiviti utama sesampainya di sana. Iaitu makan tengahari!

Di sini terdapat 2 buah restaurant.  Restoran yang kami duduki bertemakan alam sekitar tropika di mana  ianya di hiasi oleh tumbuhan hujan tropika seperti pokok pisang, orkid, betik dan sebagainya! Restoran kedua pula adalah berkonsepkan mewah dan menyediakan hidangan orang berada iaitu kaviar.

Berbalik kepada restoran untuk orang kebiasaan seperti saya ini, kami menikmati juadah daripada sayur-sayuran dan buah-buahan tropika yang ditanam di dalam rumah hijau ini. Tidak disangka Ravioli iaitu sejenis pasta berintikan cendawan bersama sos tomato dan juga betik ini sungguh menyelerakan.

IMG_4567
Jantung pisang Switzerland

Selepas menjamu selera kami diberi taklimat mengenai sejarah tempat ini. Asal kewujudan tempat ini adalah berpunca daripada penemuan air gunung yang melimpah akibat pembinaan terowong keretapi  Lötschberg.  Anda boleh saksikan bagaimana kereta yang kami pandu menaiki keretapi melalui terowong ini di minit video yang saya rakamkan di sini.

Air dalam gunung ini agak panas iaitu 18 darjah Celcius. Jika ia disalurkan ke dalam sungai dan tasik, ianya akan merubah suhu dan menggangu ekosistem sungai dan tasik yang boleh menyebabkan kepupusan hidupan sungai dan tasik. Air ini hanya boleh disalurkan ke sungai jika beza suhunya tidak lebih atau kurang daripada 1 darjah Celcius.

Akhirnya timbul satu idea untuk menggunakan air gunung ini yang dikira ‘suam’ bagi kawasan gunung ini  untuk menternak ikan Sturgeon, iaitu sejenis ikan besar yang telurnya diproses menjadi kaviar, sejenis makanan mewah. Selain itu juga haba daripada air gunung ini diserap dan digunakan untuk mengawal suhu rumah hijau yang membolehkannya menampung tumbuhan tropika. Setelah haba daripada air ini diserap barulah ianya disalurkan ke sungai.

IMG_4625
Ikan sturgeon yang tidak mempunyai sisik.

Kemudian kami berkesempatan untuk melihat kolam-kolam ikan dimana ikan Sturgeon ini diternak. Ikan sturgeon yang menghasilkan kaviar ini adalah terdiri daripada species yang terancam.  Tidak hairanlah menternak untuk kaviar merupakan satu penternakan yang lumayan. Ikan sturgeon bukan sahaja diternak kerana kaviar tetapi juga kerana dagingnya yang disalai sebelum dijual.

Setelah meneliti ikan-ikan tersebut kami kemudiannya ke rumah hijau di mana penulis terjumpa serai, daun pandan, daun kari dan juga tanaman yang biasa kelihatan di tanahair. Amat menakjubkan yang tumbuhan ini tumbuh subur di bumi Switzerland ini!

Kemudian kami berpeluang untuk membeli belah hasil rumah hijau dan ternakan di sini. Kaviar termurah yang dijual di dalam satu tin yang mengandungi 30 g kaviar daripada switzerland ini berharga CHF 82 bersamaaan dengan  Rm 360 sewaktu artikel ini ditulis.

Habis buahan segar seperti betik, nenas, jambu batu dan pisang habis diborong oleh rakan-rakan sekerja. Bukan senang untuk mendapatkan buah-buahan tropika yang segar dipetik daripada pokok!

IMG_4577
Pokok nenas yang sedia untuk dibeli.

 

Saksikanlah rakaman video yang sempat penulis rakam semasa lawatan tersebut di bawah ini

 

Leave a Reply to waqi Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.