Tidak minat untuk bersekolah? Sistem pendidikan berasaskan kemahiran di Switzerland.
Usia 14 atau 15 tahun merupakan usia yang paling penting bagi pelajar di Switzerland. Pada masa ini mereka perlu membuat keputusan sama ada untuk meneruskan persekolahan ke sekolah menengah (yang dikenali sebagai Gymnasium) ataupun memulakan latihan kemahiran di dalam bidang yang mereka minati.
Bagi mereka yang berminat dengan universiti, mereka perlu mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang. Gymnasium merupakan sekolah menengah dan juga kelas persediaan ke universiti. Masa yang diluangkan di Gymnasium adalah antara tiga ke enam tahun. Berikut adalah mata pelajaran yang diajar di Gymnasium.
- Bahasa Utama – bergantung kepada di mana mereka berada, Switzerland mempunyai 4 bahasa Kebangsaaan
- Bahasa Kedua- pilihan bahasa selain daripada bahasa utama.
- Bahasa Ketiga- bahasa kebangsaaan, bahasa Latin ataupun bahasa Inggeris
- Matematik
- Biologi
- Kimia
- Fizik
- Sejarah
- Geografi
- Pendidiakan Seni /Musik
Namun tidak semua orang minat ataupun berkeupayaan untuk belajar di meja sekolah. Hanya 20 peratus daripada remaja di sini lulus Gymnasium, selebihnya mereka mengikuti kursus kemahiran. Terdapat beratus-ratus jenis kemahiran yang ditawarkan di bawah sistem pendidikan Switzerland.
Selain kerja kemahiran yang biasa kita dengar seperti tukang kayu,tukang jahit, tukang paip, tukang masak, mekanik, petani dan sebagainya terdapat juga beberapa pekerjaan yang jarang penulis dengar seperti:
- Tukang buat bot
- Tukang buat senjata api
- Penari pentas
- Tukang seni kaca
- Tukang buat landasan keretapi
- Pencuci serombong
- Pembuat tong wain atau bir
- Pembuat keju
- Penjaga kuda
- Pembuat landasan ski
- Pembuat jam
Setelah memilih kemahiran yang diminati, permohonan yang diluluskan akan ditempatkan di tempat kerja terbabit. Setiap hari mereka belajar ilmu kemahiran secara langsung di tempat kerja. Sehari atau dua hari seminggu mereka perlu ke kelas untuk mempelajari teori.
Secara purata mereka menerima sedikit ganjaran ketika di dalam latihan. Pada tahun pertama biasanya mereka menerima ganjaran antara 400-800 Swiss Francs sebulan ( RM 1700- RM 3500) bergantung kepada bidang. Ini biasanya tidak mencukupi untuk menyara hidup. Kebanyakan remaja masih tinggal bersama keluarga mereka pada masa ini. Ganjaran ini dibayar oleh pihak swasta yang mengambil mereka sebagai pelatih. Setiap tahun ganjaran mereka naik sehinggakan pada tahun terakhir (tahun keempat) ganjaran mereka adalah dua kali ganda dari ganjaran tahun pertama.
Setelah tamat tempoh latihan, mereka perlu mengambil peperiksaan kemahiran yang dihakimi oleh mereka yang pakar dalam bidang terbabit.
Seawal umur 20 tahun mereka mula bekerja sebagai seorang yang berkemahiran dengan gaji penuh. Gaji di Switzerland paling rendah adalah CHF 20 sejam namun mereka yang mempunyai sijil kemahiran semestinya memperolehi lebih dari itu. Bergantung kepada bidang kemahiran dan kepakaran, pendapatan mereka boleh mengatasi mereka yang mempunyai Ijazah Universiti.
Sistem kemahiran di Switzerland memudahkan mana-mana individu untuk menyambung pengajian mereka baik di dalam bidang yang sama mahupun bidang yang berbeza. Usia juga bukan penghalang untuk melanjutkan pelajaran. Tidak hairan jika pensyarah, doktor pakar, dan juga ahli saintis yang penulis kenali di sini memulakan pendidikan sebagai pembantu makmal, tukang membuat roti, dan tukang kayu!
Apa komen anda?