Lazim di tanah air tetapi jarang di sini. Pagar dan jaga!



Setiap kali saya pula ke Malaysia saya cuba membilang berapa kali sehari saya terpaksa berdepan dengan abang dan pakcik jaga dan juga pintu pagar  manual ataupun automatik. Sekembalinya saya ke sini, baru saya terasa yang kehidupan saya setiap hari di sini tidak berpagar, jauh sekali bertemu dengan abang dan pakcik jaga!

Kita mulakan daripada bangunan paling atas sekali bagi sesebuah negara iaitu Parlimen. Berapakah jarak  pintu pagar ke pintu masuk bangunan parlimen Malaysia? Dan berapakah pengawal keselamatan yang menjaga bangunan tersebut? Parlimen Switzerland tiada pagar sama sekali!. Jika anda datang ke sini anda boleh datang ke halaman parlimen untuk bersantai, atau lepak di bawah bangunan sambil makan aiskrim tanpa dimarahi. Pada musim sejuk dataran ini menjadi papan luncur air dan dimusim panas pula kanak-kanak separuh bogel pula  dengan gembiranya bermain air pancut  di depan pintu masuk bangunan parlimen. Saya berbasikal merentasi kawasan ini setiap hari dan hanya hari-hari tertentu sahaja pengawal keselamatan terpaksa keluar bertugas, iaitu hari di mana terdapat tetamu negara asing.

Berbalik kepada kehidupan umum di sini, sila lihat gambar kawasan perumahan di kawasan tempat penulis tinggal. Saya menggelarnya rumah keju kerana warnanya yang kekuningan dan tetingkapnya jika dilihat dari jauh seperti lubang-lubang keju jenis Emmental. Tiada pagar, tiada jaga dan jika diperhatikan dengan teliti, setiap rumah hanyalah berjendelakan gelas. Tiada jaringan besi sama sekali.  Alat perabut dan hiasan beranda  diletakkan di luar begitu sahaja setiap masa. Beginilah keadaan rumah di kebanyakan tempat di sini. Ada rumah yang berpagar tetapi ianya hanyalah hiasan dan hanya setinggi paras peha. Jarang sekali untuk bertemu bangunan yang pagarnya seperti tembok besar dan bergerigi tajam di atasnya.

Begitu juga dengan kebanyakan institusi awam seperti hospital dan universiti tempat saya bekerja. Selama bertahun saya bekerja di sini, belum pernah saya bertemu dengan pengawal keselamatan. Hospital yang beribu-ribu katil ini tidak mempunyai pintu pagar sama sekali. Begitu juga dengan bangunan universiti yang bertebaran di dalam bandar Bern Ini.

Saya juga sering melawat rumah orang tua yang jumlahnya melebihi sekolah, baik yang mewah mahupun yang kebiasaan. Tiada satu pun yang saya lawati berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan. Semua  sekolah di sini tidak mempunyai pagar dan pengawal keselamatan.

Kecurian tetap ada di mana-mana tetapi ianya sangatlah jarang.  Susah untuk anda mencuri kerana setiap kali anda lalu lalang anda akan diberi salam! Kegiatan yang mencurigakan diambil berat oleh masyarakat di sekeliling. Oh ya satu lagi, kadar senjata api yang disimpan di rumah adalah tinggi kerana kebanyakan lelaki di sini pernah menyertai latihan ketenteraan. Rondaan polis juga amat kerap.

Apa yang pasti rasa selamat di sini amatlah tinggi. Bukan saja bagi saya tetapi juga kanak-kanak, ibubapa dan golongan warga emas di sini.  Jika saya rindu untuk melihat abang jaga (saya belum pernah berjumpa pakcik jaga di sini)  saya akan menjengok dari jauh  kedai jam di bandar lama Bern. Di sana pengawal keselamatan berpakaian ala-ala James Bond. Maklumlah, jam di kedai tersebut harganya  mampu dibeli oleh para menteri kita dan kaum kerabatnya.

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.