Kepimpinan negara- pemerhatian di Bern, Ibunegara Switzerland.



Kepimpinan negara- pemerhatian di Bern, Ibunegara Switzerland.

Saya merasa bertuah untuk tinggal di ibu negara Switzerland yang dikenali sebagai Bern, menyaksikan setiap hari berpusu-pusu manusia ke bandar ini untuk mencurah bakti meyumbang tenaga terhadap kerajaan persekutuan. Antara mereka adalah 7 orang yang paling penting di Switzerland yang dikenali sebagai Bundesrat, jika di terjemahkan secara langsung bermakna Ahli Majlis Persekutuan. Sebagai satu entiti, mereka adalah ketua negara Switzerland.

Mereka dipilih semasa mesyuarat gabungan Standerat yang hampir sama dengan Dewan Rakyat dan Nationalrat yang hampir sama dengan Dewan Negara. Bundesrat sekarang terdiri daripada 3 wanita dan 4 lelaki dari 5 parti politik yang sangat berbeza. Mereka dipilih setiap 4 tahun dan kebiasaanya kekal dipilih sehinggalah mereka bersedia untuk pencen ataupun di atas sebab peribadi. Sejak tahun 1848, hanya 4 orang tidak diundi balik untuk menjadi Bundesrat.

Apabila dilantik menjadi Bundesrat, kepentingan parti mereka bukan lagi agenda pertama mereka. Ini kerana setiap keputusan Bundesrat adalah keputusan bersama. Mesyuarat dan undi setiap Bundesrat adalah rahsia dan rekodnya termateri selama 50 tahun. Meskipun keputusan bersama Bundesrat bercanggah dengan pendapat peribadi dan juga parti yang mereka wakili, beliau seharusnya bersatu hati degan keputusan bersama. Bundesrat juga tidak seharusnya mengkritik Bundesrat yang lain meskipun mereka berasal dari parti yang berbeza.

Setiap tahun, salah seorang daripada mereka dilantik menjadi Presiden Persekutuan. Peranan dan kuasa individu ini adalah sangat terhad dan taraf beliau tidak lebih tinggi daripada Bundesrat yang lain. Sebagai contoh, jika Yang Di-Pertuan Agong mencemar duli ke Switzerland sebagai lawatan rasmi, ketujuh-tujuh Bundesrat akan menyambut Yang Dipertuan Agong.

Meskipun kuasa mereka dikira tinggi, namun mereka sekadar mentadbir dan melaksanakan amanah rakyat. Pernah beberapa kali mereka muncul di kaca tv merayu supaya rakyat menerima cadangan mereka, namun undi rakyat adalah sebaliknya. Mereka juga sering kali ‘digoreng’ didepan kaca mata tv oleh ahli politik atau rakyat biasa semasa membentangkan usul kerajaan, begitu juga dengan suratkhabar.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah sikap mereka yang bersederhana. Walaupun Switzerland merupakan antara negara yang terkaya di dunia, kebanyakan penduduk dan pemimpinya sangat bersederhana. Sebagai contoh;

-Tiada kediaman rasmi disediakan untuk mereka semua. Bagi mereka yang tinggal berjauhan biasanya memilih untuk menyewa rumah atau hotel dengan perbelanjaan sendiri.

-Untuk tugasan rasmi, mereka mempunyai pemandu, terbang dengan jet dan helikopter kerajaan, di luar tugasan, mereka menggunakan kemudahan awam seperti bas, tram dan keretapi. Penulis pernah terserempak dengan salah seorang daripada mereka berlari-lari anak mengejar keretapi di stesen keretapi Bern.

-Jika anda minum kopi di tengah bandar, jangan terkejut jika disebelah anda terdapat salah seorang daripada mereka duduk minum, berbual ataupun membaca suratkhabar. Tiada pengawal peribadi mengawasi mereka.

-Penulis nyaris terlanggar salah seorang daripada mereka yang melintasi jalan di hadapan parlimen. Silap penulis yang berbasikal laju di depan parlimen yang tidak berpagar dan berpengawal itu.

Jika direnungkan sejenak, apa yang Islam ajar seperti konsep Syura dan Zuhud diamalkan oleh mereka. Manakala kita yang berbanga mengaku sebagai umat Islam, realitinya bercanggah dengan apa yang diajarkan.
Banyak lagi perkara yang termaktub di dalam agama kita mereka amalkan di sini seharian, mungkinkah ini rahsia mereka kekal sebagai negara maju dan berdaya saing?

Sekiranya ada salah dan silah harap maafkan. Luahan maklumbalas dan pendapat anda adalah sangat dihargai.

Leave a Reply to admin Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.