Hantar surat, barang serta orang, juga untuk simpan duit, itulah dia Swiss Post.



postmotor
Motor elektrik yang digunakan oleh posmen di Switzerland.

Setiap hari ketika ingin ke tempat kerja, saya selalu bertembung dengan posmen yang menghantar surat menggunakan motor electrik. Kami bertanding siapa yang cepat untuk mengucapkan ‘Guten Morgen’ yang membawa maksud selamat pagi.  Pada waktu tengahari, sekiranya saya kehabisan tunai saya ke mesin ATM di pejabat pos untuk mengeluarkan duit. Di hujung minggu pula, sekiranya saya ingin bersiar ke kawasan kampung/gunung saya akan menaiki bas kuning yang mempunyai ‘wifi’ percuma. Ketiga-tiga perkhidmatan ini dimiliki oleh satu institusi iaitu Swiss Post yang juga dikenali sebagai  Die Post, La Poste atau La Posta. Ianya adalah majikan kedua terbesar di Switzerland. Mari kita lihat ringkasan sejarah pos di Switzerland ini.

Sejarah perkhidmatan pos di Switzerland bermula pada tahun 1675 lagi oleh seorang hartawan Bern yang bernama Beat Fischers. Menyedari yang perkhidmatan pos boleh membawa hasil yang lumayan, beliau meminta konsesi daripada kerajaan Bern. Bemula dari saat itu, keluarga ini memajukan perkhidmatan post di Switzerland dan menjadikan ia sebagai perkhidmatan pos terlaju di benua Eropah.

Fischerpost
Tuan Fischer, pemegang konsesi Swiss Post.

Setelah 150 tahun konsesi diberikan kepada keluarga Fischer, perpecahan dan kekacauan berlaku di Switzerland ekoran peperangan yang berlaku pada akhir 1700an. Pada tahun 1849 ditubuhkan Post Persekutuan. Pada masa itu dihasilkan stem pertama.

stem terawal
Stem terawal yang dikeluarkan di Switzerland

Perkhidmatan post dipercepatkan lagi dengan pengangkutan surat menggunakan keretapi bermula pada tahun 1857 dan diikuti oleh perkhidmatan pos menggunakan kenderaan bermotor pada tahun 1903. Kini syarikat ini mula menyelidik dan mencuba penghantaran menggunakan dron udara.

keretapi post
Gerabak keretapi untuk mengangkut surat pada tahun 1860 an
postbus old
Kenderaan untuk perkhidmatan post pada 1900 an
Post drone
Post di masa hadapan menggunakan dron udara

Swiss Post mula terlibat dengan industri kewangan apabila ia melancarkan perkhidmatan cek pada tahun 1906. Ianya sangat popular dan mudah kerana ianya tidak memerlukan wang fizikal untuk berpindah milik. Ramai yang menggunakan perkhidmatan ini untuk membayar sewa rumah, bil-bil dan juga gaji pekerja. Kini, anak syarikat Postfinance merupakan salah salah satu bank utama buat penduduk di sini.

cek lama
Cek mula diperkenalkan pada tahun 1906.

Pengangkutan awam oleh Swiss Post bermula  pada tahun 1918. Pada ketika itu perkhidmatan ini menggunakan kereta kuda dan dan beransur-ansur ditukar kepada bas yang diubahsuai daripada kenderaan tentera.  Kini Postbus  mula mencuba  bas elektrik tanpa pemandu di sebuah pekan kecil.

Swiss Post Auto 1918
Bus untuk pengangkutan awam daripada Swiss Pos tahun 1918
postauto alps
Bas PostAuto merentasi banjaran Alps yang dilengkapi kemudahan ‘Wifi’ percuma.

Pengangkutan awam tanpa pemandu di Sitten, Switzerland.

Berbanding dengan Malaysia yang mana perkhidmatan Post moden wujud pada 1800an, perkhidmatan yang diberikan oleh Swiss Pos menjadi nadi kepada kemajuan Switzerland beratus tahun lebih awal.  Itulah dia sedikit sebanyak maklumat mengenai Swiss Post yang unik ini.

 

Sumber utama: Sejarah Swiss Post 

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.