9 Rahsia sihat sampai ke umur 90an, petua daripada warga emas Switzerland.



Jika anda melihat senarai jangka hayat bagi setiap negara yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Switzerland merupakan antara negara teratas di dalam carta tersebut setara dengan Jepun, Australia, Itali dan Singapura.

Di Switzerland ini saya berkesempatan mengenali dan mengikuti kehidupan beberapa orang warga emas yang berusia 80 ke atas termasuklah emak angkat penulis yang berumur 90 tahun dan masih mampu memandu kereta ke sana ke mari. Setelah lebih kurang  sedekad mengenali mereka saya rumuskan  9 tabiat yang menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka.

1. Cergas bergerak setiap hari.

Emak angkat penulis mengidap penyakit radang sendi sejak berdekad yang lalu. Sebelah sendi lutut dan bahunya adalah tiruan. Setiap sendi yang lain keradangan namun ia tidak menghalang beliau untuk berjalan kaki setiap hari. Sekiranya hari ini sakitnya lebih maka beliau akan berjalan kaki menggunakan tongkat. Setiap kali kami berjalan bersama, kami biasanya berjalan sekurang-kurangnya  4 kilometer. Selain itu beliau juga mengikuti kelas yoga untuk warga emas setiap minggu.

Meluangkan masa berjalan menghirup udara segar  setiap petang meskipun terpaksan menggunakan 'rollator'.
Meluangkan masa berjalan menghirup udara segar setiap petang meskipun ayah angkat terpaksa menggunakan ‘rollator’.

2. Meluangkan masa menikmati alam sekitar.

Bersama aktiviti pertama di atas, biasanya kami akan berjalan menyusuri sungai ataupun di pinggir tasik. Pada hujung minggu kami akan memandu ke kawasan pergunungan untuk menikmati pemandangan yang indah. Sambil berjalan emak angkat penulis akan menerangkan fenomena cuaca, maklumat mengenai tumbuhan ataupun menghafal nama-nama puncak gunung. Bila kami berehat penat berjalan, kami duduk diam memerhatikan pemandangan indah. Kami tidak keseorangan.  Hari Ahad kebanyakan kedai di tutup dan rakyat Switzerland  meluangkan masa menikmati alam sekitar dengan pelbagai aktiviti.

Meskipun sejuk, tetapi berbaloi menikmati alam sekitar.
Meskipun sejuk, tetapi berbaloi menikmati alam sekitar.

3. Makan  semua tetapi secara sederhana.

Emak angkat penulis gemar mencuba makanan baru. Pernah penulis memasak beberapa kali masakan Malaysia seperti kari atau pun nasi goreng. Namun setiap kali makan, beliau pastikan yang beliau berhenti sebelum kekenyangan. Hidangan pula dinikmati dengan  dengan perlahan tanpa gelojoh. Dinikmati setiap kunyahan dan rasa hidangan tersebut. Setiap kali makan bersama, kami biasanya menghabiskan masa 2 jam di meja makan. Makin ramai berada di meja makan makin lamalah kami mengambil masa untuk menghabiskan hidangan. Jika saya menanak nasi untuk tetamu Swiss saya hanya perlukan satu periuk, tetapi jika saya menjemput rakyat Malaysia yang sama jumlahnya saya perlukan dua periuk!

nasi goreng
Bersama menikmati nasi goreng ikan salmon bakar masakan penulis.

4. Menjaga keterampilan.

Semua warga emas yang saya temui amat menjaga keterampilan mereka. Meskipun pakaian mereka berasaskan zaman yang berbeza tetapi mereka sangat menjaga pakaian mereka agar sentiasa kemas. Kemas dan rapi dan tidak semestinya mahal ataupun baru. Begitu juga dengan rambut. Emak angkat penulis akan ke salon rambut sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sebelum ibubapa penulis datang melawat ke sini, beliau pergi ke salon rambut khas untuk bersiap bertemu dengan ibubapa penulis. Menjaga keterampilan merupakan satu tanda yang kita perihatin terhadap tubuh badan kita.

H01B1256
Bergambar kenangan di bandar Ticino.

5. Membaca dan mengikuti perkembangan semasa.

Saya pernah menganjurkan makan malam bersama dengan beberapa orang warga emas yang berjiran dengan saya. Kami berbincang mengenai banyak perkara daripada ekonomi sehinggalah ke isu pengganas dunia. Saya kagum dengan mereka yang cakna dengan perkembangan semasa. Apabila kami berbincang mengenai konsep tawakal , salah seorang daripada mereka yang berusia 95 tahun mampu memetik satu hadis mengenai unta yang mesti ditambat sebelum kita bertawakal!

6. Menguasai banyak bahasa.

Kesemua warga emas yang saya kenali menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa. Pada awalnya saya bertutur menggunakan bahasa Inggeris dengan mereka. Setelah mereka mengetahui yang saya ke sekolah bahasa Jerman barulah mereka bertutur menggunakan bahasa Jerman. Emak angkat penulis pula menguasai bahasa Jerman, Perancis dan juga Bahasa Inggeris. Bagi mengelakkan bahasa Perancis yang jarang digunakan luntur, beliau menonton TV saluran bahasa Perancis.

Gambar hiasan dari internet.
Gambar hiasan dari internet.

7. Mudah berkawan.

Saya masih lagi teringat kata-kata emak angkat yang beliau lebih banyak menghadiri majlis pengebumian daripada menghadiri majlis hari jadi. Itulah hakikat apabila usia lewat senja. Namun mereka tidak membiarkan diri mereka keseorangan  dan kesunyian. Dengan menghadiri program seperti yoga, konsert musik dan sebagainya mereka bertemu dengan insan-insan lain dan ada di antaranya menjadi kawan. Mereka juga tidak memilih kawan, jika tidak masakan saya boleh berkenalan dengan mereka semua?

Hans, Sonya dan mak angkat penulis, Rosemarie.
Dilawati oleh pasangan yang berumur 95 tahun, Hans dan Sonja setelah selesai pembedahan lutut.

8. Murah dengan pertolongan.

Pertama kali saya pindah ke rumah yang saya tinggal sekarang,  lampu bilik air saya rosak. Jiran saya menawarkan pertolongan dan membaiki lampu tersebut. Saya sangkakan beliau berumur 60-an tetapi sebenarnya 80an! Ketika saya sakit emak angkat  akan datang menziarah penulis, memastikan yang saya cukup makan dan sebagainya. Begitu juga dengan jiran-jiran yang lain. Mereka murah menghulurkan pertolongan dan sangat susah untuk meminta pertolongan. Seringkali perlawaan saya memberi tempat duduk kepada warga emas di dalam pengangkutan awam ini ditolak.

r_m
Ibu penulis bersama ibu angkat.

9. Bersedia menghadapi masa hadapan.

Pada suatu hari saya terlihat jiran saya yang berusia 90 tahun yang sibuk mengemas stor. Beliau memberitahu yang sementara beliau masih sihat, inilah peluang beliau membersihkan stor tersebut dan membuang barangan yang tidak berguna agar tidak menyusahkan anak-anaknya apabila beliau meninggal nanti. Emak angkat penulis pula mula menjenguk rumah-rumah orang tua di sekeliling dan sudah pun memilih rumah orang tua yang akan beliau pergi sekiranya beliau tidak berupaya untuk tinggal berseorangan tanpa bantuan. Mereka kesemuanya memastikan yang duit mereka cukup untuk membayar kos penginapan nanti. Mereka bersedia untuk menghadapi masa hadapan, dan memastikan yang mereka tidak menyusahkan sesiapa setelah mereka pergi.

IMG_7211
Kawasan perkuburan di kampung penulis

Saya kagum dengan warga emas di sini. Mereka merupakan satu golongan yang kaya dengan pengalaman dan pengetahuan. Apatah lagi kebanyakan mereka pernah mengalami kesusahan di zaman perang dunia dahulu. Dalam masa yang sama mereka juga merupakan satu golongan yang gigih meneruskan hidup seboleh-bolehnya dengan berdikari tanpa bantuan orang lain. Tidak hairanlah inilah generasi yang berjaya yang mendidik generasi Switzerland sekarang.

Leave a Reply to aishah Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.