Secebis mengenai hukuman dera (corporal punishment) di Sweden.
Isu pasangan rakyat Malaysia yang di tahanan kerana menggunakan hukuman dera ke atas anaknya yang enggan bersolat membuatkan saya mengkaji sedikit mengenai hukuman dera(corporal punishment) di Sweden.
Sweden adalah negara pertama yang mula mengharamkan hukuman dera di rumah dan sekolah pada tahun 1979 . Sehingga kini hanya 35 buah negara yang mengharamkan hukuman dera termasuk oleh keluarga sendiri. Tujuan utama undang-undang ini dilaksanakan adalah untuk melarang ibu-bapa di Sweden mendidik anak mereka dengan cara fizikal seperti menampar, merotan, mencubit dan sebagainya.Setelah undang-undang ini diperkenalkan, pandangan rakyat Sweden terhadapnya hukuman ini juga berubah. Pada asalnya lebih suku daripada rakyat Sweden bersetuju bahawa hukuman dera adalah perlu untuk mendidik anak mereka. Pada tahun 90 an , hanya 11% mempunyai pendapat yang sedemikian.
Kanak-kanak dan remaja mempunyai hak yang lebih daripada orang dewasa. Selain daripada pengharaman hukuman dera ke atas kanak-kanak, ini dibuktikan dengan pemberian subsidi ke atas khidmat jagaan kanak-kanak, cuti bersalin yang lumayan buat ibu bapa, pengenalan insurans cuti buat ibu bapa yang anaknya sakit, dan lain lain lagi yang membentuk persekitaran yang menyokong kesejahteraan golongan kanak-kanak dan remaja.
Selain itu penekanan mengenai tanggungjawab keibubapaan didedahkan di semua peringkat pendidikan. Kanak-kanak diberi kesedaran mengenai tubuh mereka yang tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Kursus penjagaan anak disediakan percuma buat bakal ibu bapa dan juga terdapat kumpulan sokongan bagi mereka yang mempunyai anak di pusat komuniti kesihatan.
Malaysia amat jauh lagi kebelakang mengenai pelupusan hukuman dera. Ianya adalah biasa di dalam hukuman undang-undang seperti hukuman rotan buat penjenayah, boleh dilakukan di sekolah dan adalah hak keluarga untuk mendidik anak mereka selagi ia tidak memberikan kecacatan atau kecederaan lahiriah. Tidak hairanlah dengan mentaliti sebegini, terdapat banyaknya kes penderaan ke atas individu lain sama ada suami, isteri, anak, mahupun orang gaji. Individu di negara kita tidak cakna dengan hukuman dera menyebabkan mangsa membiarkan mereka diperlakukan sedemikian rupa. Kita masih lagi perlu belajar untuk menghormati tubuh sendiri dan juga tubuh insan lain.
Tujuan saya menulis ini adalah untuk memberikan sedikit latar belakang mengenai isu ini. Ia bukannya untuk menyalahkan mana-mana pihak. Pendapat peribadi saya tidak dinafikan dibentuk oleh persekitaran kehidupan di Eropah ini dan juga pengalaman sewaktu berada di Malaysia.
Sekadar menulis.
Apa komen anda?