‘Putzfrau’ dibayar lebih RM 100 sejam untuk mencuci rumah di Switzerland.
Sebelum saya keluar rumah hari ini, Anna muncul di hadapan rumah. Selepas berbual-bual-sedikit bertanyakan khabar, saya meninggalkan Anna membuat kerjanya dan mencapai basikal saya menuju ke tempat kerja. Sekiranya Anna datang lewat atau saya perlu ke pejabat awal, Anna mempunyai kunci rumah saya.
Sudah 4 tahun Anna datang ke rumah saya setiap dua minggu. Beliau meluangkan masa selama dua jam membersihkan rumah saya. Meskipun Anna mencecah umur 67 tahun beliau masih lagi sihat dan cergas. Tidak hairanlah setiap hujung minggu beliau meluangkan masa mendaki gunung di sekitar Switzerland ini.
Setelah kematian suaminya, orang Switzerland, Anna mempunyai banyak masa lapang. Lalu beliau memulakan kerja separuh masa dengan mencuci rumah persendirian di sekitar Bern ini. Duit lebihan yang diperolehi digunakan untuk melancong dan membawa cucunya dari Poland bercuti di Switzerland.
Kerjaya Anna, dikenali sebagai ‘Putzfrau’ atau wanita yang berkerja mencuci rumah merupakan kerja yang dikehendaki oleh banyak kediaman di Switzerland ini. Kerjaya ini didominasi oleh wanita. Mereka dibayar antara 20 -30 Swiss Francs ( RM 83- RM 124) sejam mengikut lokasi dan pengalaman. Ada yang berkerja secara haram, namun Anna dan kebanyakan yang lain berkerja secara sah di mana saya dan tuan rumah yang lain membayar bukan sahaja gaji Anna, tetapi juga insuran kemalangan serta tabung pencen mereka.
Mengikut kajian salah satu suratkhabar di sini, tukang cuci di rumah persendirian dibayar lebih mahal berbanding dengan tukang cuci pejabat, kedai dan lain-lain. Namun mereka biasanya dibayar dengan gaji tetap setiap bulan, manakala tukang cuci rumah pula bergantung kepada keperluan rumah-rumah yang mereka cuci.
Sesampainya di rumah, rumah saya kelihatan bersih tanpa habuk dan kotoran. Sangat menenangkan fikiran. Di atas meja Anna meninggalkan nota menyatakan yang cecair pencuci telahpun habis dan saya perlu membelinya untuk sessi dua minggu akan datang.
Apa komen anda?