Minat dan kerja, pemerhatian di Switzerland



Penulis bersama cokelat daripada majikan di meja kerja.
Penulis bersama cokelat daripada majikan di meja kerja.

Setelah bertahun saya bekerja di Switzerland ini saya memerhatikan hampir semua pekerja bahagia dengan kerja mereka. Mereka berkerja dengan sepenuh hati dan ikhlas. Ini dibuktikan dengan referendum untuk menambah hari cuti wajib dari 4 minggu ke 6 minggu ditolak oleh majoriti rakyat Switzerland pada pengundian March 2013. Untuk pengetahuan saudara sekalian negara ini mengamalkan system demokrasi langsung. Hampir setiap undang-undang di Switzerland harus mendapat undi majoriti rakyatnya sebelum ia dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Mengapakah mereka menolak tawaran penambahan cuti sedemikian?

Saya dapati sejak dari kecil lagi system pendidikan mereka berasakan minat dan kecenderungan individu, bukannya paksaan, pertandingan mahupun untuk menjadi piala buat ibu bapa yang sering membandingkan kejayaan anak mereka dengan orang lain. Mereka berasa hairan apabila saya menceritakan tentang kisah di Malaysia di mana anak-anak kecil dipaksa menghadiri pelbagai kelas tambahan semata-mata untuk mendapat kedudukan tertinggi di dalam kelas dan sebagainya. Bagi mereka itu merupakan satu penganiayaan buat kanak-kanak.

Di sini setiap individu dianggap berbeza. Kejayaan dalam kehidupan tidak diukur menggunakan pembaris kekayaan mahupun kejayaan di dalam bidang akademik. Sekolah adalah tempat untuk meneroka potensi generasi baru, bukannya medan persaingan antara satu sama lain untuk membuktikan siapa yang terbaik di dalam bidang akademik. Tiada pertandingan sekolah terbaik, sekolah tercantik dan sebagainya. Mereka diajar yang manusia ini berdiri sama rata, setiap kerja adalah mulia dan berkerja sebagai pegawai atasan adalah sama penting dengan tukang pencuci sampah. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab tersendiri terhadap masyarakat.

Mungkin sejarah ada kaitannya dengan mentaliti rakyat Switzerland. Negara ini diasaskan oleh sekumpulan petani dari 3 daerah yang menentang percubaan feudal untuk menjajah mereka pada tahun 1200an. Sejak itu daerah-daerah lain turut bersama membentuk negara Switzerland meskipun mereka berbeza agama (Katholik dan Protestan) dan juga bahasa serta budaya (Perancis, Itali dan German). Konsep mendewa-dewakan segolongan insan dan merendah-rendahkan segolongan insan lain hampir tidak wujud.

Berbalik kepada minat dan kerja, setiap orang di sini mempunyai kelenturan untuk memilih perkerjaan mahupun menukar pekerjaan mereka di kemudian hari. Sebagai contoh, rakan sekerja saya memiliki ijazah Master di dalam bidang ilmu alam dan sekarang bekerja di dalam bidang penyelidikan klinikal. Tahukah apa perkerjaan beliau sebelum ini? Pembuat konfeksi! Saya pernah juga pertemu seorang professor di dalam bidang perubatan yang sebelum ini merupakan seorang tukang kayu yang terlatih dan seorang pakar bius yang sedang belajar undang undang. Baru baru ini saya ada terbaca satu rencana mengenai seorang penyanyi rap yang juga merupakan seorang peguam.

Barulah saya sedar mengapa Switzerland merupakan antara negara yang tinggi daya kreativiti dan inovasinya, dibuktikan dengan 24 orang pemenang hadiah nobel dari pelbagai bidang secara tidak langsung meletak Switzerland sebagai tangga teratas di dalam kategori jumlah pemenang nobel per kapita. Switzerland juga merupakan negara yang paling berdaya saing mengikut laporan pesaingan global (Global Competitiveness Report).

Apa yang saya dapat rumuskan di sini, untuk memanfaatkan potensi kita sepenuhnya selaku individu dan masyarakat, kita perlu melakukan apa yang kita minat. Memilih kerja kerana menurut kata orang lain, trend semasa atau dipaksa boleh membunuh kebolehan kita. Bagi ibubapa pula, bersama-samalah menerokai potensi anak anda. Jangan sesekali melakar masa depan anak anda dengan alasan itulah yang terbaik untuk mereka. Pastikah anda?

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.