Menilai kesihatan diri, cara rakyat Switzerland.



Kita jarang menghargai benda yang percuma. Lagi mahal sesuatu benda maka lagilah kita menghargainya. Ataupun bila benda yang ada itu mula hilang, mulalah kita mengenangkannya. Namun ianya sudah terlewat. Itulah lumrah manusia sejagat.

Pernahkan anda berfikir setakat manakah anda menilai kesihatan anda? Sejauh manakah usaha anda untuk memelihara kesihatan yang ada  ? Setiap sistem kesihatan di setiap negara ada baik dan ada kelemahannya. Apa yang saya ingin huraikan di sini ialah mengenai sistem kesihatan di Switzerland.

Terdapat dua perkara yang pasti bagi setiap insan yang dilahirkan di negara ini, cukai dan juga insuran kesihatan. Sebaik sahaja seorang insan mula menetap/lahir di Switzerland, bayaran pertama yang perlu dibuat ialah untuk insuran kesihatan! Ianya termaktub di dalam perlembagaan di sini. Ianya bukan murah!

Pada tahun 2009 penulis membayar CHF 233 (MYR 1000) sebulan dan tahun pada tahun 2016 bayaran yang dikenakan adalah CHF 353(MYR  1520) sebulan.  Tidak seperti di Malaysia di mana insuran anda adalah hibrid simpanan tetapi di sini duit tersebut lesap digunakan untuk membiayai insan lain yang sakit. Sekiranya kos perubatan kurang daripada CHF 2500 setahun, makan penulis perlu membayarnya sendiri. Pada tahun hadapan penulis akan menghabiskan sekurang-kurangnya CHF 4236 (MYR 18 300) untuk kos kesihatan meskipun penulis sihat walafiat.

ubat duit

Semakin ramai rakyat yang sakit maka makin tinggi bayaran insuran. Menyedari bertapa mahalnya nilai kesihatan di sini, kebanyakan rakyat Switzerland berusaha sedaya upaya menjaga kesihatan masing-masing agar tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Gaya hidup yang sihat diajar sejak kecil lagi. Hampir semua orang di sini gemar bersukan tidak kira umur berapa. Sebab itulah mereka masih boleh berkerja sehingga umur pencen 65 tahun. Purata jangka hayat bagi rakyat Switzerland adalah 83 tahun berbanding Malaysia yang hanya 74 tahun.

Selain mencegah penyakit dengan gaya hidup yang sihat rakyat Switzerland juga berjumpa dengan doktor mereka secara berkala untuk pemeriksaan kesihatan. Sekiranya sakit, rawatan yang terbaik diberikan. Perbezaan antara hospital swasta dan kerajaan hampir tiada bezanya keranya kedua-duanya dibiayai oleh insuran kesihatan.

Bagaimana di tanahair Malaysia? Sistem kesihatan kita hampir percuma. Mungkin kerana ianya percuma kita kurang menghargai kesihatan diri. Kita tidak berusaha untuk mencegah penyakit yang boleh dicegah seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Penyakit yang disebut ini adalah disebabkan oleh cara hidup kita yang tidak sihat. Sekiranya sakit, ubat yang diberikan (yang bernilai beratus mahupun beribu ringgit) tidak dimakan dan dibuang begitu sahaja. Yang paling malang sekali kita sanggup merujuk kepada bomoh yang cajnya beribu-ribu ringgit  ataupun mempercayai artikel di internet kerana nasihat doktor yang percuma itu tidak dipercayai sama sekali.

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.