Menghitung salam dan terima kasih di bumi Switzerland.



Seperti pagi-pagi yang lain penulis bergegas keluar rumah untuk ke tempat kerja. Sesampainya di pintu keluar utama pangsapuri di mana terletaknya peti-peti surat, encik posmen seperti biasa sudah pun berada di sana menyusun dan memasukkan surat ke dalam peti-peti surat tersebut. “Gute Morgen!” sapanya. Bergantung kepada betapa bergegasnya penulis pada pagi itu penulis akan menjawab balik  dengan ucapan yang sama ataupun sekadar ‘Morgen’. Gute Morgen membawa maksud selamat pagi.

Tram yang membawa penulis menuju ke bandar biasanya tidak padat. Sekiranya penulis terjumpa tempat duduk kosong,  penulis biasanya akan bertanya kepada sesiapa yang duduk di sebelah tempat duduk kosongitu  ” Isch da noch frei?” Adakah tempat duduk ini kosong? Selepas orang di sebelah mengangguk ataupun menjawab “Bitte Schon” barulah penulis duduk di tempat tersebut. Seharusnya penulis pelu mengucapkan perkataan ‘Merci’.

Sesampainya di pejabat tidak lekang penulis menjawab atau membalas ucapan selamat pagi kepada rakan sepejabat. Sepanjang hari setiap tingkah laku yang melibatkan pemberian ataupun pertolongan tidak lekang perkatan ‘Danke’, ‘Danke Schön’, ‘Danke Vielmals’, ‘Merci’ dan juga ‘Merci Vielmals’ disebut-sebut. Itu semua memberi satu makna sahaja iaitu terima kasih! Maka mulut penulis juga terikut-ikut mengucap perkataan tersebut ataupun balasannya dengan ‘Bitte’, ‘Bitte Schön’ atau pun ‘Gleichfalls’.

Kekadang di bangunan pejabat ini terdapat pelawat yang tidak dikenali. Jika mereka melintasi sesiapa di dalam pejabat di sini mereka akan menyapa anda dengan ‘Gruetzi’ dengan pelbagai loghat bergantung di mana mereka berasal. Ada yang menyebutnya dengan menekankan huruf ‘t’, ada pula menekankan huruf s menjadi Grusssi, dan ada pula menyebutnya dari dalam tekak menekankan huruf jawi  ‘kha’ menjadi Gruesssaakh. Semuanya membawa maksud yang sama iaitu  salam ke atas kamu.

Ucapan Gruetzi ini bukan sahaja di pejabat. Malah ketika bersiar-siar di kawasan kejiranan ataupun di kampung-kampung orang yang melintasi anda tidak lekang memberi ucapan ini. Kanak-kanak diajar sejak kecil lagi memberi salam kepada orang asing yang lalu melintasi mereka.  Sekiranya anda berjalan di kawasan lengang ataupun asing dan rasa takut dengan orang yang tidak dikenali? Ucap sahaja ucapan ini bila terserempak dengan sesiapa dan rasa tegang itu hilang. Ianya umpama ‘Assalamualaikum’ bagi orang di Malaysia.

Tiba pula waktu rehat, penulis biasanya ke kantin universiti hospital bersama rakan-rakan sepejabat. Ketika membayar makanan di kaunter, juruwang di sana dengan senyumannya tidak leka menyapa setiap pelanggan dengan ucapan ‘Gruetzi’, dan setelah membayar makanan diucapkan pula pelbagaI versi terima kasih. Penulis pernah memerhatikan juruwang ini beberapa minit, dan memang tidak menghampakan. Beliau tidak pernah terlepas mengucapkannya kepada setiap pelanggan di kaunter bayaran.

Dahulu penulis ingatkan hanya tempat-tempat tertentu sahaja di Switzerland ini yang mesra sedemikian namun anggapan penulis salah. 99% juruwang di kaunter di Switzerland ini  akan menyapa anda dengan ucapan salam dan terima kasih. Yang berbeza hanyalah bahasa ( terdapat negeri di Switzelrand ini yang menggunakan bahasa Perancis ataupun bahasa Itali sebagai bahasa perantaraan). Tidak cukup dengan itu mereka akan menambah lagi dengan ucapan ‘jumpa lagi’ atau ‘ semoga hari/pagi/petang anda indah’. Kesemua ini datang daripada orang yang anda tidak kenali. Jika dengan rakan, saudara-mara dan kenalan biasanya iana akan disusuli dengan tiga kali ciuman di pipi, kiri kanan kiri ataupun sebaliknya sambil bersalaman.

Sudah penat sehari bekerja penulis balik ke rumah. Pada waktu malamnya penulis biasanya memasak sesuatu mengikut kesesuaian dan keletihan. Ada kalanya penulis menggulai ataupun memasak kari namun hari ini penulis hanya menggoreng nasi  yang ditanak semalam dengan kangkung dan telur. Seperti biasa rakan serumah penulis menikmati makan malam yang dihidangkan. Selesainya makan malam bersama beliau  mengucapkan ‘Danke’ dengan senyuman manis seperti biasa. Penulis tersenyum sambil membilang berapa banyak salam dan terima kasih yang penulis dengar dan ucap untuk hari ini.

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.