Budaya kerja tanpa tatatingkat, pengalaman di Switzerland.
Hampir sedekad penulis mencari rezeki di Switzerland ini. Banyak yang saya pelajari daripada budaya berkerja di sini. Salah satunya berkaitan dengan pangkat dan darjat.
Hari pertama penulis mula berkerja di sebuah syarikat swasta di negara ini, penulis bertembung dengan seorang lelaki separuh umur yang berseluar pendek, berselipar Jepun dan baju berleher bulat yang masuk ke pejabat setelah meletakkan basikalnya. Ditegurnya penulis dan penulis menjawabnya sambil melemparkan senyuman, penulis terfikir “Oh mesranya kakitangan di syarikat ini, tukang cuci di sini pun baik”
Seminggu kemudian penulis terjumpa lelaki tersebut lagi di kawasan pejabat, semangat ingin tahu penulis membuatkan penulis terus merujuk daftar kakitangan di komputer. Ya Allah, rupa-rupanya yang penulis teka tukang penyapu itu adalah salah seorang yang berjawatan Pengarah dan berkelulusan PhD!
Setiap kali pulang dari pejabat menaiki bas, penulis sering bertemu dengan rakan-sepejabat yang lain. Biasalah kekadang kami mula berborak pasal pejabat, khabar angin, dan sebagainya. Tetiba rakan penulis mula menurunkan suara. Rupa-rupanya Naib Presiden syarikat duduk dibelakang kami. Penulis menoleh kebelakang sambil memberi senyuman. Hara-harap dia tidak mendengar perbualan kami.
Pada waktu rehat, penulis pernah terserempak dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang turut beratur untuk mengambil makanan di kantin pada waktu tengahari. Bayangkan, beliau merupakan seorang pakar jantung dan juga pemilik syarikat yang disenaraikan di bursa saham Switzerland, tidak kekok beratur di belakang seorang pembantu pejabat (jawatan penulis pada waktu itu) untuk mengambil makanan tengahari.
Jika penulis hadir di sesuatu mesyuarat, wakil jabatan tidak semestinya ketua jabatan, kekadang pembantu dijemput mewakili jabatan untuk bebincang dengan pengarah jabatan yang lain. Pendapat dan usul yang terbaik diterima tidak kira ia datang dari pembantu ataupun pengarah. Semua ahli mesyuarat dilayan sama rata.
Itu cerita di syarikat swasta, tidak kurangnya di Hospital dan di Universiti tempat di mana penulis sekarang berkerja. Tiada Professor dan doktor mahu dipanggil doktor, Mister atau lain-lain gelaran yang menunjukkan status mereka. Pelajar mahupun kakitangan yang bukan doktor/professor hanya perlu memanggil nama pertama mereka sahaja. Mungkin ada satu ataupun dua yang mahu dirinya di panggil Prof, dan mereka bukannya rakyat Swiss.
Agak sukar untuk meneka siapa mereka jika bertemu di kantin, ataupun di laluan pejalan kaki. Mungkin individu itu tukang kebun, pencuci tandas, ataupun professor. Tidak banyak jawatan di sini yang memerlukan uniform. Agak aneh bila melihat pelajar yang lebih bergaya daripada Professor.
Kesimpulannya, dunia perkerjaan di sini tidak mementingkan tatatingkat. Semua pekerja adalah sama taraf. Masing-masing menghormati perkerjaan dan tanggungjawab rakan sekerja yang lain meskipun mereka tidak sama taraf.
Bagaimanakah dengan dunia perkerjaan anda di Malaysia? Harap saudara dan saudari dapat kongsikan bersama saya.
Apa komen anda?