Bajet untuk belajar di Switzerland.
Switzerland bukanlah destinasi utama kepada pelajar Malaysia. Namun begitu terdapat beberapa rakyat Malaysia yang memilih intitusi pengajian tinggi di sini untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat Doktor Falsafah.
Kebanyakan universiti di sini menyatakan bahawa dengan jumlah minimum CHF2,800 – 3,500 cukup untuk menampung kehidupan seorang bujang. Perlu diingat kos sara hidup bergantung kepada di mana anda belajar. Manakala mereka yang membawa keluarga untuk bersama di sini, jumlah di atas tidak mencukupi.
Permit untuk membawa keluarga tinggal di sini adalah berdasarkan pendapatan bulanan. Salah seorang kenalan saya yang mendapat biasiswa sebanyak CHF 4500 tidak dibenarkan membawa keluarganya. Setelah digabungkan dengan pendapat suaminya yang juga seorang pelajar peringkat Doktor Falsafah, barulah permit residen untuk keluarga dengan dua orang anak ini dikeluarkan.
Peluang berkerja secara separuh masa bagi pelajar amat sukar sekali. Ini kerana sebagai pelajar peringkat doktor falsafah, anda sudah dikira sebagai berkerja. Berkerja di luar universit memerlukan permit dan sebagai rakyat asing yang sedang belajar peluang anda adalah tipis.
Memohon penginapan di sini lebih susah daripada memohon kerja. Ini kerana kesuntukan rumah kosong terutamanya di bandar besar seperti Zurich, Geneva dan Lausanne. And mungkin akan ditemu-ramah dan tuan rumah akan memilih penyewa daripada puluhan yang memohon. Sebagai seorang bujang penginapan anda boleh didapati serendah CHF 700.
Namun jika anda berkeluarga dan mempunyai 2 orang anak yang berlainan jantina anda memerlukan sekurang-kurangnya 3 bilik tidur. Anda bernasib baik jika mendapat rumah seperti itu yang kurang daripada CHF 2000.
Salah satu keperluan asas di sini adalah insuran kesihatan. Tanpa insuran kesihatan anda tidak dibenarkan menetap di Switzerland. Harganya pelbagai berdasarkan di mana anda tinggal. Kebiasaanya ia sekitar CHF 300 untuk seorang dewasa.
Perbelanjaan makanan pula adalah bergantung kepada diet dan umur anak anda. Makan tengahari di kantin universiti biasanya CHF 15 dan makan malam di luar boleh didapati sekitar CHF 50 ke atas untuk seorang. Untuk pasangan belanja makan dirumah boleh dikira sekitar chf 500 sebulan.
Pengangkutan awam di sini merupakan antara yang terbaik di dunia. Bergantung kepada jarak perjalanan Universiti dan rumah kosnya bermula daripada 100 CHF sebulan untuk seorang. Mempunyai kereta merupakan satu kemewahan disini. Harga petroleum berdasarkan harga semasa. Untuk menukarkan lesen Malaysia kepada Swiss anda memerlukan CHF 2000. Meskipun harga kereta terpakai yang baik boleh didapati dari harga CHF 5000 Anda memerlukan CHF 400 sebulan untuk menanggung kereta. Duit minyak belum dikira.
Sekolah untuk anak anda disini adalah percuma. Sekolah antarabangsa pula hanya mampu sekiranya anda seorang duta mahupun pegawai tinggi syarikat antarabangsa di mana yuran persekolahan dibayar oleh syarikat /kerajaan. Bergantung kepada lokasi anak anda perlu belajar bahasa German, Perancis ataupun Itali. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa perantaraan di negara ini.
Akhir kata, apa yang saya paparkan ini hanyalah anggaran semata-mata. Situasi munkin berubah kerana beberapa faktor termasuklah kadar tukaran asing. Satu CHF mungkin bernilai MYR 3 dan kekadang hingga mencecah MYR 3.7
Ribuan terima kasih kepada sepasang rakyat Malaysia bersama dua orang anak yang bersekolah yang baru sahaja tamat pengajian Doktor Falsafah di bumi Switzerland ini. Meskipun banyak cabaran dan dugaan belajar dan hidup di sini mereka akhirnya berjaya. Tahniah buat EG dan HT.
Apa komen anda?