7 perubahan peribadi setelah lama menetap di Switzerland.



Lebih sedekad saya hidup di luar tanah air dan sebahagian besarnya di negara Switzerland. Masa yang lama ini tanpa disedari merubah sikap saya yang perubahannya hanya saya sedari setiap kali pulang ke tanah air. Mungkin faktor kedewasaan juga merubah sikap kita namun persekitaran memainkan peranan penting membentuk peribadi seseorang. Berikut adalah senarai perubahan yang paling ketara yang saya ingin kongsikan bersama:

oberhofen
Tanaman yang membentuk bendera Switzerland.

 

Menepati masa. Jika dahulu, saya kurang mementingkan ketepatan masa. Maklumlah buat apa menepati masa jika orang lain pun tidak menepati masa. Berjanji pukul sepuluh, datang pukul sepuluh setengah adalah perkara biasa. Tetapi bila berada di sini, tidak menepati masa merupakan cara terbaik untuk anda memalukan diri sendiri. Masyarakat  di sini memandang anda sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri membiarkan masa orang lain rugi kerana anda. Mereka tidak pernah membaca Surah Al-Asr seperti saya namun mereka sudah beratus-ratus tahun mengamalkan intipatinya.

Negara yang menepati masa ini juga menghasilkan jam terkemuka.
Negara yang menepati masa ini juga menghasilkan jam terkemuka.

 

Merancang. Ingin berjumpa kawan? Atau bersiar-siar, mahupun bercuti balik ke Malaysia? Semuanya perlu dirancang dari awal. Setiap awal tahun, rakan-rakan sepejabat mula menanda kalendar pejabat jadual pecutian mereka. Sekiranya saya lewat merancang, kemungkinan besar permohonan cuti tidak dapat diluluskan kerana orang lain telahpun menempah masa tersebut untuk bercuti. Begitu juga dengan masa untuk bersama kawan-kawan di hujung minggu. Jemputan 2 minggu sebelum itu dikira selamat, lagi awal lagilah baik. Duit tambang balik ke Malaysia dapat dijimatkan apabila saya sudah ada tarikh untuk terbang, saya hanya perlu memerhati perkembangan harga tiket kapal terbang yang seumpama harga saham itu. Dengan amalan merancang baik untuk hal peribadi mahupun di pejabat, masyarakat di sini mampu mengelak dan bersedia menghadapi  perkara yang tidak diduga.

Menghormati semua pendapat orang tanpa menggadaikan prinsip. Di sini semua orang ada hak untuk bersuara dan mengkritik, namun ianya dilakukan secara objektif dan bukannya melenting beremosi. Di pejabat mahupun aktiviti sosial, masyarakat di sini bebas bersuara tanpa mengira tatatingkat. Perbezaan pendapat diraikan bukannya disisihkan dan mereka tidak memilih pendapat berdasarkan tuan yang bersuara. Hanya insan yang kurang matang berbahas menyerang peribadi dan beremosi apabila mendengar pendapat orang lain.

brainstorm
Sessi percambahan fikiran yang melibatkan semua pekerja daripada pembantu sehinggalah ke peringkat pengarah.

 

Mencintai alam sekitar. Saya diajar di sini agar menyayangi alam sekitar. Setiap karung sampah di rumah yang dibuang perlu diletakkan setem berbayar. Manakala kitar semula barangan di sini adalah percuma. Pada hujung minggu pula, manusia di sini keluar rumah menuju  ke tasik, sungai dan gunung. Itu adalah aktiviti paling popular di hujung minggu. Semua pasaraya dan kedai ditutup. Ini membentuk masyarakat yang….(sila lihat perenggan di bawah).

stmoritz
Penulis cuba menghafal nama-nama puncak gunung di sekitar pekan St Moritz sambil diperhatikan oleh orang Swiss.

 

Kurang materialistik dan menunjuk-nunjuk. Masyarakat di sini apabila memiliki sesuatu atau berbuat sesuatu hanyalah untuk kepuasan diri dan bukannya untuk meniru mahupun untuk memuaskan hati orang lain. Mereka sedar dari awal lagi untuk memuaskan hati semua orang adalah mustahil. Anda pusing dunia, ada rumah besar, ataupun kereta berkuasa tinggi? Tiada siapa yang peduli. Tidak dilayan lebih di mana-mana kaunter di sini  kepada mereka yang memakai jam mahal berbanding mereka yang memakai jam plastik. Sikap berbanding dan bertanding di sini tidak wujud kerana ianya tidak ditanam di sekolah. Yang wujud hanyalah layanan sama rata dan hormati menghormati.

Duit kertas Switzerland. Wang kertas bernilai 1000 Swiss Franc tiada di dalam gambar dan ianya amat jarang ditemui.

 

Menilai erti kesihatan.Di Malaysia, setiap kali diberi ubat ketika sakit , saya seringkali tidak memakannya, malah sanggup membuangnya begitu sahaja. Tidak disedari bertapa mahalnya ubat tersebut kerana saya menerimanya dengan percuma. Rawatan di klinik kerajaan pula hanyalah beberapa ringgit. Pada setiap bulan, setiap insan di sini membayar insuran kesihatan. Duit caruman  setiap tiga bulan itu digunakan untuk merawat insan yang memerlukan. Makin ramai masyarakat yang sakit maka makin tinggilah caruman setiap tahun. Justeru itu setiap insan di sini sedar bertapa mahalnya harga kesihatan. Tidak hairanlah mereka gigih berusaha menjaga kesihatan masing-masing. Jika makan itu satu keperluan, begitulah juga bersenam! Di sinilah saya mula belajar berenang dan mencuba aktiviti riadah yang lain. Kekadang terasa malu bila datuk dan nenek di sini dengan laju dan selambanya memotong saya berenang.

stromer
Berbasikal ke pejabat bukan sahaja menyihatkan malah mengingatkan kembali memori berbasikal ke sekolah dahulu.

 

Mencintai asal usul dan bahasa ibunda. Bila lama berjauhan dari tanah air, lagi terasa bangga saya sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan budi bahasa dan senyuman. Tidak jemu pula saya mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Bagi mereka yang tidak kenal mana itu Malaysia, dengan terperinci saya jelaskan kepada mereka. Terasa bangga setiap kali rakan-rakan di sini menceritakan bertapa seronoknya mereka melancong ke Malaysia.

Belajar menguasai bahasa asing pula membuatkan saya menghargai keindahan bahasa ibunda dan loghat negeri yang saya warisi. Rakyat Switzerland mempunyai 4 bahasa rasmi dan kebanyakannya boleh bertutur lebih daripada dua bahasa. Terdapat loghat bahasa bagi setiap daerah dan mereka bangga dengan loghat masing masing. Loghat bahasa mendapat tempat di dalam industri musik dan juga perfileman. Sayang sekali ramai di kalangan rakyat Malaysia sekarang memandang remeh bahasa ibunda mereka dan mencampur adukkan perkataan asing bila bertutur. Bahasa itu jiwa sesuatu bangsa.

hariraya
Jamuan hari raya oleh masyarakat nusantara termasuk rakyat Malaysia di bumi Switzerland.

 

Berada di negara Barat tidak menjadikan hidung saya yang kemek ini semakin mancung, atau rambut saya bertukar kepada perang mahupun mata saya bertukar kepada warna biru. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Saya tetap anak Malaysia tidak kira di mana saya berada dan saya  cuba mengutip segala kebaikan tidak kira dari mana ia datang termasuklah dari dunia barat ini.

Apa komen anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.