Berapa ramaikah rakyat Malaysia di Switzerland?



Switzerland merupakan negara rojak, maksud saya penduduknya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.  Mengikut kiraan jabatan statistik, terdapat 6.8 juta penduduk Switzerland yang berumur 15 tahun ke atas dan 2,4 juta (35%) daripadanya mempunyai latarbelakang antarabangsa, iaitu sama ada dilahirkan di luar negara ataupun mempunyai ibubapa yang dilahirkan di luar Switzerland. Sepertiga daripada golongan ini diberi kerakyatan Switzerland. Rujukan.

Rakyat asing merupakan satu faktor penting yang mempengaruhi ekonomi negara kaya ini sejak dahulu lagi.  Graf dibawah menunjukkan peratus rakyat asing yang mendiami Switzerland sejak tahun 1900.

peratus-rakyat asing

Pertama kali saya berhijrah ke Switzerland antara soalan pertama yang difikir adalah berapakah jumlah rakyat Malaysia di Switzerland? Pada masa itu saya ‘buta’ kerana tidak fasih berbahasa German untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki.

Kini setelah 10 tahun berada disini barulah saya  berjaya mendapatkan maklumat yang paling tepat. Saya berani kata yang maklumat daripada Jabatan Statistik Switzerland paling tepat kerana ;

-Setiap penduduk Switzerland wajib mendaftarkan diri  mereka di pejabat kampung/daerah yang mereka tinggal. (dikenali sebagai Gemeinde)

-Urusan pengisuan dan pembaharuan permit residen dikendalikan melalui Gemeinde.

-Setiap penduduk yang  berpindah sama ada di dalam atau di luar negara wajib melaporkan status mereka kepada pihak berkuasa, begitu juga dengan daftar kematian.

-Sumber lain seperti  daripada buku daftar Kedutaan Malaysia. keahlian kelab dan persatuan yang membabitkan rakyat Malaysia kurang tepat kerana tidak semua rakyat Malaysia mendaftarkan diri ataupun melaporkan status mereka berpindah keluar daripada Switzerland.

Secara umumnya berlaku peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mendiami bumi neutral ini. Pada tahun 1980  hanya terdapat 418 rakyat Malaysia. Namun pada tahun 2013 jumlahnya meningkat kepada 2238.

Apa yang agak menarik terdapat lebih kaum hawa berkerakyatan Malaysia berbanding kaum Adam. Mengikut pendapat peribadi dan pemerhatian penulis, situasi ini adalah kerana faktor cinta. Lebih ramai wanita Malaysia berkahwin dengan jejaka Switzerland berbanding dengan jejaka Malaysia yang mampu menawan hati kaum hawa Swiss. Lebih ramai lelaki Malaysia yang berhijrah ke sini kerana karier berbanding kaum hawa.Selain itu terdapat juga beberapa pasangan rakyat Malaysia yang mencuba nasib mencari rezeki dan membina keluarga mereka di sini.

Jantina

 

DI manakah rakyat Malaysia ini tinggal?  Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia tinggal di kanton (umpama negeri) yang paling metropolitan iaitu Zürich. Di sini bahasa rasminya adalah German.  Tempat kedua dan ketiga diikuti oleh kanton Vaud dan Geneva di mana penduduknya bertutur bahasa Perancis.  Tidak ramai yang mendiami kanton Bern, ibunegara Switzerland dan juga di mana terletaknya Kedutaan Malaysia.  Selebihnya, rakyat Malaysia bertebaran di serata Switzerland kecuali kanton Uri yang agak terpencil.

Kanton

Median umur rakyat Malaysia yang menetap di Switzerland adalah 33 tahun, umur yang dikira agak produktif. Terdapat segelintir pelajar persendirian yang belajar di sini namun jumlah mereka tidaklah ramai seperti di United Kingdom. Terdapat juga warga emas yang tinggal menetap di negara ini. Antara yang penulis kenal adalah mereka yang bertemu jodoh dengan rakyat Switzerland berdekad-dekad yang lalu dan mepunyai anak dan cucu di sini. Rakyat Malaysia yang paling tua ialah seorang wanita berusia 89 tahun yang tinggal di Basel-Stadt.

Maklumat mengenai bangsa rakyat Malaysia tidak dapat diselidiki kerana bagi negara Switzerland apa yang penting ialah kerakyatan bukannya bangsa dan keturunan. Namun di mata pemerhatian penulis rakyat Malaysia di sini terdiri daripada berbilang bangsa dan agama termasuk pribumi Sabah dan Sarawak. Kebanyakannya bergaul mesra antara satu sama lain.

Sekian laporan daripada penulis yang mendiami bumi Bern, Switzerland.

SumberPortal Rasmi Jabatan Statistik Switzerland

 




Leave a Reply to Khabar dari Switzerland Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.