Negara aman Switzerland, bila tabung duit tidak dicuri dan membeli tanpa penjual.



Bila saya melihat laporan di media mengenai kes jenayah di Malaysia saya berasa sedikit terkilan. Bilakah agaknya negara kita mencapai kemajuan di mana rakyat hidup aman dan sejahtera. Amat sedih lagi bila melihat tabung masjid dikopek dan beg duit dicuri sewaktu makmum bersolat.

Jika anda ke Switzerland, jangan terkejut jika anda menaiki kenderaan awam dan tiada konduktor yang bertugas.  Ini kerana sebahagian besar kenderaan awam seperti bas, tram dan sesetengah keretapi memang menggunakan prinsip percaya kepada pengguna.

Anda perlu membeli tiket di kaunter ataupun di kios elektronik. Itu sahaja. Tiada sekatan atau pintu khas seperti komuter ataupun LRT di Malaysia. Saya pernah tersebut kepada seorang rakyat Switzerland, ” Bertapa senangnya untuk jimat duit dengan tidak membayar tiket. Namun dijawabnya “Anda membayar pengangkutan kerana dipaksa ataupun sedar yang tanpa bayaran anda kenderaan awam ini tidak akan wujud?”  Begitulah tahap kesedaran dan kejujuran rakyat di sini.

Papan tanda di dalam pengangkutan yang menunjukkan penumpang perlu membeli tiket yang betul. Tiada kawalan di atas kenderaan.
Papan tanda di dalam pengangkutan yang menunjukkan penumpang perlu membeli tiket yang betul. Tiada kawalan di atas kenderaan.

Pernahkah anda tertinggal barang di dalam kenderaan awam? Jika anda tertinggal di dalam pengangkutan awam di sini peluang untuk anda mendapatkannya balik adalah sangat cerah. Saya pernah dikejar oleh seorang jejaka yang tidak dikenali di stesen keretapi. Amat panik dan terkejut tetapi perasaan itu hilang bila dia menunjukkan telefon bimbit yang saya tertinggal di tangannya.

Pada tahun lepas sebanyak 100 000 barangan tertinggal di dalam pengangkutan awam diserahkan kepada kaunter hilang-jumpa. Separuh daripadanya dapat dipulangkan kepada pemilik asal!

Gambar yang anda lihat di bawah ini adalah satu kedai bunga di kawasan perkuburan. Bunga-bunga yang digubah cantik diletakkan di sini. Sekiranya pelawat ingin membeli bunga tersebut maka diletakkan duit di dalam tabung. Sekali saya pernah melihat seorang nenek tua meletakkan duit tanpa mengambil bunga. Lalu saya mengingatkan beliau dan dijawabnya yang dia membayar balik bunga yang diambilnya semalam ketika beliau terlupa membawa dompet.

Friedhof
Bunga yang dijual di tanah perkuburan. Untuk membayar pembeli perlu memasukkan duit ke dalam tabung. Tiada penjual menunggu.

Konsep kedai tanpa penjual ini boleh didapat dimana-mana terutama  untuk bunga petik sendiri, hasil pertanian yang diletakkan di pondok jualan dan sebagainya. Sila lihat gerai tidak bertuan di bawah.

Saya kagum dengan masyarakat Switzerland. Meskipun mereka kurang beragama, dan ramai yang tidak mempercayai tuhan namun mereka itu tahu apa itu konsep jujur, amanah, adil dan menjauhi berbuat zalim  sesama insan yang lain.

Apa komen anda?