Kubu pertahanan nuklear di bawah rumah dan juga pejabat.



Jikalau letupan nuklear berlaku di Eropah ini maka rakyat Switzerland antara rakyat yang terselamat paling ramai! Saya berkata sedemikian kerana negara ini sentiasa bersiap sedia untuk sebarang malapetaka semulajadi dan juga buatan manusia.

Bukan sahaja rakyatnya siap terlatih untuk berperang,   sistem penggera yang terletak di mana-mana di Switzerland ini diselenggara dan dicuba sekali setahun boleh memberi amaran kepada rakyatnya secepat mungkin. Selain itu kebanyakan bangunan di sini mempunyai kubu pertahanan yang mampu melindungi penduduk daripada serangan bom nuklear!

Jika kebanyakan kubu di dalam gunung dibina untuk perlindungan pada zaman perang dunia kedua,pembinaan kubu di bangunan persendirian dan awam mula dikuatkuasakan pada tahun 60’an. Rakyat pada zaman itu takut dengan senjata nuklear Russia ketika perang dingin. Maka dijadikan undang-undang mewajibkan pembinaan kubu pertahan ini di kebanyakan bangunan termasuk rumah, apartment, pejabat, sekolah, hospital dan sebagainya.Setiap kubu pertahanan ini mempunyai pintu yang tebal dan juga alat penapisan udara.

Switzerland adalah juara bagi jumlah kubu perkapita terbanyak di dunia. Terdapat lebih daripada 300 ribu kubu pertahanan yang mampu memuatkan 8.6 juta penduduk. Naib juara bagi kubu pertahan nuklear adalah Finland dan Sweden. Namun kubu-kubu di kedua-dua negara tersebut tidak mampu menampung kesemua rakyatnya.

Di apartment tempat penulis tinggal, kubu pertahanan ini dijadikan sebagai tempat simpanan barang-barang. Di pejabat pula kubu ini dijadikan tempat simpanan server dan dokument-dokument. Mengikut undang-undang di sini, ruang kubu boleh digunakan untuk tujuan lain namun ianya harus sentiasa berada di dalam keadaan baik.

Apa komen anda?