Berapa peratuskah anda berkerja?



Ketika hari pertama saya berkerja di Universiti di sini, pertanyaan utama dari rakan-rakan perkerja saya baru adalah ‘ berapa peratuskan anda berkerja?’ Mengapa soalan ini dikemukakan?

Ini adalah kerana di Switzerland hampir 35% daripada jumlah pekerja  hanya berkerja separuh masa. Bagi wanita, lebih daripada separuh daripada mereka berkerja separuh masa dan bagi lelaki pula lebih daripada 10%. Berikut adalah contoh yang saya kenali.

a) Ketua pengarah jabatan saya merupakan seorang bapa kepada 2 orang anak. Beliau hanya berkerja sebanyak 80% sahaja. Setiap hari Jumaat adalah masa untuk dia mengasuh anak-anak manakala isterinya bekerja. Kebanyakan bapa yang mepunyai anak kecil rata-ratanya memilih untuk berkerja 80%.

b) Ketua kumpulan  saya merupakan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak, hari berkerjanya hanyalah Isnin, Selasa dan Khamis. Hari Rabu dan hari Jumaat merupakan hari untuk beliau meluangkan masa bersama anak-anaknya. Jumlah kerja beliau adalah 60%.

c) Rakan sekerja saya sedang melanjutkan pelajaran , tahun ini dia hanya berkerja 40% di mana waktu kerjanya anjal dengan mengambil kira jadual kuliah, kerja rumah serta cuti semester. Beliau hadir berkerja sama ada sehari penuh (8jam 24 minit) atau pun separuh hari ketika tiada kuliah.

Anda mungkin bertanya adakah ini mustahil untuk dilaksanakan? Bagaimana dengan pengurusan, pembahagian tugas dan juga penyeliaan kerja.  Ini boleh dilaksanakan kerana organisasi di sini sentiasa merancang dengan teliti. Jumlah jam untuk sesuatu kerja dikira dengan tepat dan dibahagikan dengan jumlah tenaga kerja yang ada. Dengan perancangan yang rapi beban kerja secara mendadak dapat di elakkan. Contohnya, untuk bercuti pekerja di sini rata-ratanya akan merancang setahun sehingga enam bulan sebelumnya!

Dengan gaji yang berpadanan, pekerja di sini masih mampu untuk berkerja separuh masa dan tanpa membebankan kewangan mereka. Kemewahan ditukar dengan masa yang tidak dapat tukarganti kemudian kelak.

Negara ini sedar perbezaan antara kualiti dan kuantiti. Apabila pekerja bahagia, maka mereka akan berkerja dengan sepenuh hati dan cekap. Tidak hairanlah Switzerland merupakan antara negara yang tinggi daya saing dan juga inovasi. Apalah gunanya bekerja 8 jam sehari sambil memakan gaji buta dan menyusahkan orang lain.

 

Meja kerja penulis yang berselerak.
Meja kerja penulis yang berselerak.

Apa komen anda?